Home » , , , » Solatlah anak2ku

Solatlah anak2ku

Written By Lisanul Hakim (Ahmad Shafiq Ismail) on Tuesday, December 07, 2010 | Tuesday, December 07, 2010

Sekejap-sekejap saya meninjau ke anak tangga. Namun, kelibat Kak Long dan Kak Ngah masih belum terlihat di mata.

“Hmm…dah dekat pukul lima dah ni…” saya berbisik di dalam hati sambil mengerling sekilas jadual waktu solat yang ditampal di pintu bilik.

“40 minit lagi dah masuk maghrib…”saya mencongak-congak sendiri.

Di tingkat bawah, riuh rendah suara anak-anak bermain menerobos masuk ke cuping telinga. Sesekali tercuit juga mendengar telatah mereka berbual dan bergurau. Usik mengusik dan saling berbalas kata hingga banyak kali si kecil Solehah menangis akibat dikenakan oleh kakak-kakak dan abangnya, Khalil.

“Hmmm, asyik betul bermain….” Bisikan di hati bertemali.

Di luar rumah, suasana terang kian kelam. Siang pergi, malam pula mengambil ruang untuk mengabdikan ‘diri’. Bukti ketaatan yang tidak pernah culas kepda Pencipta Yang maha Suci.


MELENTUR BULUH

Biarpun saya dan suami tidak pernah dilatih untuk menunaikan solat ketika kecil oleh kedua ibubapa kami, namun melihat kepada perkembangan kurang sihat di kalangan generasi hari ini, juga tatkala menerima sekian banyak luahan diri, masalah peribadi, pergolakan keluarga, keruntuhan rumahtangga dan seumpamanya yang melibatkan individu-individu yang bermasalah dalam pelaksanaan solat mereka; kami menyimpulkan bahawa penekanan solat sememangnya penting agar kefahaman di sebalik pelaksanaan ibadah solat yang sempurna mampu menatijahkan manfaatnya iaitu sebagai benteng kepada sebarang perlakuan buruk, seterusnya mengukuh jatidiri seorang mukmin bertaqwa dari menghampiri sebarang aktiviti maksiat dan berterusan dalam dosa.

Firman ALLAH SWT :





Maksudnya : “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah salat. Sesungguhnya salat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (salat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” ( Surah al Ankabut ayat 45 )

Kerana itu, saya dan suami meyakini bahawa semua itu dapat dicapai dengan memulakan didikan solat kepada anak-anak sejak kecil lagi, iaitu bila mereka sudah mula menunjukkan minat meniru setiap geraklaku ibu bapa yang biasanya terjadi seawal usia dua tahun lagi.

Melentur buluh biar dari rebungnya, demikian nasihat orang-orang dahulu kala.

Sungguh! Ada relevannya.


Sebelum anak-anak mencecah usia 7 tahun, saya dan suami sendiri bermula hanya dengan ‘mengajak-ajak ayam’ anak-anak agar mereka mahu untuk solat bersama, menghampar sejadah dan memakaikan tudung agar mereka merasa teruja untuk mengikuti pergerakan-pergerakan yang ada di dalamnya.

Betul atau salah cara mereka menunaikan tiang agama itu dari sudut perbuatan, bacaan mahupun bilangan rakaat solat yang ditunaikan pada ketika ini bukan menjadi persoalan kerana objektif utama hanyalah untuk menanamkan minat dan memperkenalkan anak-anak kepada ibadah solat.


Tidak perlu menggunakan kuasa ‘veto’ ibu bapa untuk memaksa anak-anak melakukannya kerana sebarang perkembangan kemampuan anak-anak melakukan gerakan solat akan berlaku hasil dari kematangan proses belajar yang diberikan. Pengalaman dan pelatihan yang berterusan sebenarnya mempunyai pengaruh kepada mereka, bermula dengan didikan asas sejak kecil dan ia akan berkembang selaras dengan pertambahan usia mereka.

Seterusnya, setelah usia anak-anak mencecah 7 tahun ke atas, barulah suami meminta saya untuk mengajar anak-anak berwudu’ dengan cara yang betul, menyemak bacaan solat mereka terutama bacaan-bacaan yang dikategorikan sebagai rukun solat seperti al Fatihah dan tahiyyah, sementara semakan lebih serius dan 'digeruni' oleh mereka dilakukan sendiri oleh suami setiap kali selepas solat maghrib.

Manakan tidak, rotan juga 'disediakan'.

Selain itu, kami juga membelikan mereka pakaian solat sebagai satu ransangan dan motivasi yang akan menghadirkan perasaan gembira untuk menunaikan solat bersama-sama.


HUKUMAN


“Abang, kak Long kak ngah belum solat Asar lagi. Dah masuk waktu Maghrib ni. Asyik sangat bermain la tu, sampai lupa waktu,” lapor saya kepada suami di bilik studi.

Seperti biasa, tanpa banyak bicara, suami bingkas bangun dan mengambil penyangkut baju di belakang pintu. Saya hanya memandang. Telah maklum apa yang akan berlaku sebentar lagi.

“Kak long, kak ngah..naik atas kejap.” Dari dalam bilik studi saya mendengar suara suami memanggil. Sejurus, kedengaran bunyi tapak kaki berlarian mendaki satu demi satu anak tangga.

“Dah solat Asar ke belum?” Tanya suami. Tegas. Saya mencuri-curi pandang dari balik daun pintu bilik studi. Terlihat wajah anak-anak menekur lantai anak tangga. Jawapan balas yang diberi juga sayup-sayup masuk ke cuping telinga saya. Lemah. Nada orang bersalah.

“Hulur tangan,” arah suami. Masih tegas dan menggerunkan hati anak-anak yang mendengar. Suami memukul tapak tangan kedua-duanya. Dua kali setiap seorang. Wajah kak long muram. Kak ngah juga demikian.


Pukulan yang tidak begitu kuat, tidak melukakan tetapi cukup sebagai pengajaran dan diharap tersemat kukuh di dalam ingatan.

“Ambil wuduk sekarang.. qada’ solat asar.” Arahan suami masih belum selesai. Kak long dan kak ngah menurut perintah. Saya memandang suami. Suami juga melihat ke arah saya. Kami saling berpandangan. Penuh makna.


Kami sentiasa memikirkan bagaimana sensitiviti anak-anak di luar pandangan dan ingatan kami, adakah mereka akan kekal patuh dan ingat kepada tanggungjawab mereka?



GALAKAN DAN CEGAHAN

Sememangnya melatih dan mendidik anak-anak untuk melazimi solat fardu yang lima bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, konsentrasi dan komitmen yang tidak berbelah bagi dari kedua ibu bapa. Baik suami, juga isteri, kedua-duanya perlu saling bekerjasama dan tidak bertelagah dalam menentukan corak didikan terhadap anak-anak.


Amat membimbangkan apabila saya pernah membaca di dada akhbar beberapa tahun dahulu, peratusan umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah solat fardu lima waktu dengn sempurna. Laporan tersebut merupakan hasil kajian seorang pakar motivasi terkenal tanahair, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah. Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.


Justeru itu, saya dan suami bersetuju untuk melaksanakan peraturan baru dalam didikan solat anak-anak kami terutama kepada kak long dan kak ngah yang telah menjangkau usia 9 dan 11 tahun pada tahun ini.


Jika ketika mereka kecil, saya dan suami hanya mengajak dan memberi galakan, tetapi sebaik sahaja mereka melangkah usia mumayyiz, kami mahu melihat keinginan untuk solat itu bukan terhasil dari suruhan atau perintah ibu bapa, sebaliknya ia hadir dari kesedaran merekaterhadap penunaian solat sebagai satu kewajipan yang mesti dilaksanakan ke atas setiap muslim yang taat kepada TUHAN ar Rahman.

Peraturan tersebut ialah kami tidak lagi mengingatkan mereka setiap kali waktu solat tiba. Pada tahap ini, saya dan suami cuba untuk menyemai mujahadah ( kesungguhan dari diri sendiri ) pada diri anak-anak agar pemahaman dan ilmu yang ada tentang solat dapat diakui oleh hati.


Tambahan lagi waktu solat di UK ini yang sering berubah-ubah mengikut musim, menyebabkan perlu sentiasa peka dan berawas sentiasa dengan masa. Berbeza dsekali dengan waktu solat di malaysia, waktu di sini boleh berbeza 1 - 6 minit setiap hari. Lebih megelirukan apabila waktu diawal dan dilewatkan sejam kerana perubahan musim panas dan sejuk. Bukan anak-anak sahaja yang keliru, malah orang dewasa yang baru sampai ke UK juga begitu.


Untuk lebih membantu anak-anak tanpa meninggalkan mereka begitu sahaja, suami menampal jadual waktu solat di pintu bilik mereka. Jika masih leka dengan bermain dan sebagainya, sehingga solat tidak ditunaikan di dalam waktunya, maka kami akan mengenakan hukuman ringan sebagai satu pelaksanaan kepada gesaan dari hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :



“Suruhlah anak-anakmu solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka jika meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun..” ( Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud )


POHON PENILAIAN

“Cuba kak long, kak ngah tengok gambar ni.” Saya berkata sambil menghulurkan dua keping gambar tidak berwarna kepada mereka.

Kak long dan kak ngah segera mengambil dan mengamati gambar-gambar yang diberikan.
Gambar pertama merupakan lakaran sebatang pohon dengan tujuh dahan yang dipenuhi lima helai daun dan sebiji buah pada setiap satunya, manakala gambar kedua, juga merupakan lakaran sebatang pokok tetapi lebih besar dengan dahan yang lebih banyak dari yang pertama.

“ Ni untuk apa Ummi. Ala, dalam bahasa arab. Kak ngah tak faham..” balas kak ngah sedikit mengeluh tatkala melihat tulisan yang tertera pada gambar di hadapannya bukan di dalam bahasa melayu atau inggeris.

“Apa kak long, kak ngah kena buat dengan pokok-pokokni Ummi?” kak long pula menyoal. Tergambar keterujaan pada riak wajahnya.

“Ini jadual penilaian namanya, untuk solat fardu, subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak...cukup lima kali sehari semalam, tapi dalam bentuk sebatang pokok. Gambar pokok yang pertama ni untuk penilaian seminggu, yang kedua ni pula untuk sebulan,” saya menjelaskan.

“Dengan pokok’ ni kak long dan kak ngah boleh tengok bagaimana penjagaan solat sehari-hari. Adakah dah jaga masa solat dengan baik atau tidak. Cuba tengok ni...” saya mengarahkan tumpuan ke bahagian bawah helaian tersebut.

Di situ tertera panduan mudah bagaimana pokok penilaian itu diaplikasikan.

“Kalau kak long, kak ngah solat awal waktu, tak lewat atau terlepas, daun pada dahan ini kak long dan kak ngah warnakan dengan warna hijau. Kalau lambat atau dah habis waktu, baru nak solat…warna daun diwarnakan dengan kuning. Kalau banyak daun hijau, itu tandanya solat kak long, kak ngah bagus. Tambah pula dengan gambar buah-buah ni yang diwarnakan dengan warna merah kalau kak long dan kak ngah ada buat perkara-perkara baik.

Wah! Tentu cantik pokok kak long dan kak ngahkan?” jelas saya lagi.


Kedua-duanya tersenyum-senyum senang hati.

“Kalau kita tengok pokok yang daunnya warna hijau, kan cantik. Segar je. Orang lain pun boleh duduk di bawahnya ketika panas sebab redup. Berbanding pokok-pokok yang daunnya warna kuning…tanda layu dan nak gugur. Lama-lama tak ada daun, tinggal batangnya je…” tambah saya panjang lebar.

“Haah…macam daun-daun masa autumn kat UK ni kan Ummi…” kak long tersengih menampakkan gigi. Saya menganggukkan kepala mendengar kata-katanya.

“Dan lagi, bila habis je seminggu dan ummi tengok ‘pokok penilaian ‘solat kak long kak ngah penuh dengan daun-daun hijau, ummi akan beri setiap seorang 50pence (= RM 2.30) sebagai hadiah. Simpan dalam tabung tau…but please don't forget, kak long dan kak ngah perlu jujur dengan diri sendiri....macam tadi, tak bohong bila ayah tanya dah solat asar atau belum.

Walaupun kak long dan kak ngah dah tahu, kalau lewat dan tertinggal waktu solat kena hukum. Orang yang solat, sentiasa berusaha bercakap benar. Apa hadis yang kak long, kak ngah hafal tu?" saya mengambil kesempatan menduga ingatan kedua-duanya.


"عليكم بالصدق , always be truthful.." jawab kedua-duanya serentak.


"Alhamdulillah. Be honest ok,” saya mengakhiri kata-kata sambil menghadiahkan senyuman manis buat anakanda berdua.
Dalam pada itu, saya teringat suami pernah membuat kejutan selepas merotan keduanya kerana terlepas waktu solat, namun kemudian menganugerahkan £2 kepada mereka sebagai penghargaan bercakap benar. Lebih-lebih lagi, saya baru sahaja memaklumkan kepada suami bahawa keduanya sangat ingin membeli buku cerita sempena pesta buku di sekolah.

Kelihatan terubat kesedihan mereka dengan anugerah yang tidak disangka itu.

"Ingat.. lain kali kalau tertinggal solat, kena rotan..kalau cakap benar pun tak ada hadiah lagi tau" tegas suami kepada mereka.


MENJAGA FITRAH

Sesungguhnya tiada sebab lain dari semua yang saya dan suami lakukan di atas melainkan ia adalah sebagai satu usaha dari saya dan suami untuk menjaga fitrah anak-anak agar tidak terpengaruh oleh hal-hal negatif sebagaimana maksud dari sabda baginda SAW yang lain :

“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah ( suci ). Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi “. ( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Setiap ibu bapa seharusnya menginsafi bahawa melalui metod latihan solat yang memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan mungkin wang ringgit ini, ia tidak lebih adalah sebagai langkah awal untuk memperkuat fitrah ilahiyah yang wujud sejak azali di dalam diri setiap manusia. Ia disubur dan dikembangkan melalui pelaksanaan lima rukun islam yang disyariatkan oleh ALLAH SWT di mana salah satu darinya ialah ibadah solat fardu yang lima.

Untuk itu, usaha selanjutnya harus dikembangkan kepada kesedaran untuk meningkatkan kualiti solat, sehingga dengannya, ia mampu mencegah anak-anak dari perbuatan keji dan mungkar. Kualiti ini secara lahiriahnya terungkap dari bagaimana nilai-nilai solat itu ‘hidup’ dalam diri individu yang mendirikannya. Mereka yang solat dengan pelaksanaan yang benar, akan mampu menjaga waktu, memiliki taqwa kepada ALLAH dengan menjaga tingkah laku, memelihara lidah dari berkata yang sia-sia dan menipu, serta merasakan pengawasan ALLAH pada setiap ketika, walau di mana mereka berada.

Andai iman itu seumpama akar tunjang bagi sepohon pokok, maka solat pula diibaratkan sebagai batangnya.


Syari’at Islam yang syumul tidak akan dapat disempurnakan sebaiknya jika solat tidak didirikan. Justeru itu solat berperanan sebagai tiang agama.

Sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama.

Benarlah sabda baginda junjungan yang maksudnya :

"Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi." (Riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).


SOLATLAH ANAK-ANAKKU

“Ummi, ummi…tadi kat sekolah Kak Ngah dah cakap pada Miss Bodycote…” Petang itu, sebaik selesai mengerjakan solat Zohor dan Asar, Kak Ngah menyapa saya yang sedang membasuh pinggan dan mengemas dapur.

Mendengar kata-katanya, saya menoleh. Selalunya bila Kak Ngah berbicara tidak jelas sebegitu, dia mahu berbual dan bercerita.

“Kak Ngah cakap apa pada cikgu?” saya menyoal. Menurut agakan saya, tentu perkara yang dibicarakan itu hanya berkaitan kerja-kerja sekolahnya sahaja. Akan tetapi…

“Pasal solat la Ummi..” Kak Ngah menjawab.

“Solat?” Saya mengerutkan dahi.

“Ye la Ummi…sekarang kan waktu sembahyang dah cepat…jadi Kak Ngah pun cakaplah pada cikgu Kak Ngah : Miss Bodycote, the time to pray for muslim is getting early, so we don’t want to miss prayer, we need a place in school to pray , in a clean place, we will bring our praying mat to school. “ Kak Ngah bercerita sambil penuh ekspresi memek muka.

Saya tersenyum tanpa bicara. Seungkap kalimah tahmid merecup indah menyelimuti jiwa.

Sekalung doa menyusul ke hadrat Yang Maha Esa :
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء
“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.”(Surah Ibrahim ayat 40 )

Solatlah anak-anakku....

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

0 comments:

Post a Comment

BLOG INI BERMANFAAT ? LIKE PAGE KAMI !

SAHABAT SEPERJUANGAN