Home » , , , » Orang Mukmin Sentiasa Tenang Menghadapi Ujian Kehidupan

Orang Mukmin Sentiasa Tenang Menghadapi Ujian Kehidupan

Written By Lisanul Hakim (Ahmad Shafiq Ismail) on Wednesday, February 23, 2011 | Wednesday, February 23, 2011

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ujian di dalam kehidupan kadang-kadang di luar dugaan hingga menyebabkan kita rasa terlalu lemah. Keadaan ini kadang-kadang menyebabkan terungkai keegoan di dalam diri kita hingga kita tersungkur di depan kebesaran Allah dan keagungan Allah, menyedari hakikat kelemahan diri dan mula merasa perlunya bimbingan Ilahi. Ketika itu kita mulai mendaki anak-anak tangga untuk mendekati Allah S.W.T. Ini adalah salah satu pintu hidayah (ujian) untuk kita kembali merasa diri sebagai hamba dan melihat Allah sebagai Rabb.

Sememangnya ujian di dalam kehidupan ini adalah medan tarbiah untuk kita mengenali diri dan merasai kebesaran dan keagungan Allah S.W.T. Ibnu Qayyim pernah menyebut, "Di jadikan kita (manusia) lemah supaya dengan kelemahan itu kita dapat meneropong kebesaran dan keagungan Allah S.W.T."

Orang yang bijak lebih suka ditimpa dengan ujian kesusahan dari ujian kesenangan kerana kesenangan lebih cenderung untuk menjadikan kita lupa diri manakala ujian kesusahan sering saja menyedarkan kita tentang kelemahan diri. Apabila hidup menjadi terlalu sukar kita mungkin terpaksa bersabar (kerana itu sahaja yang kita mampu buat) tetapi apabila hidup dilimpahi kekayaan dan diselimuti kemewahan tidak ada pula orang yang terpaksa bersyukur. Oleh kerana itu sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W lebih takut ujian kemewahan dari ujian kemiskinan.

Kesukaran dan kemiskinan hidup kadang-kadang menghidupkan kepekaan jiwa hingga kita lebih banyak memikirkan kepentingan orang lain daripada kepentingan peribadi menyebabkan kita manusia yang sebuk dengan keperluan dan kepentingan diri bahkan kadang-kadang menjadi rakus walau terhadap harta dan kekayaan orang lain.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat kisah seorang sahabat Nabi bernama Tsa’labah. Beliau  menceritakan kepada Rasulullah S.A.W.  kemiskinannya dengan sedih dan hiba dan meminta Rasulullah S.A.W. mendoakannya, agar menjadi kaya, supaya dapat dengan tenang mengerjakan ibadah kepada Allah S.W.T. Mulanya Nabi S.A.W.  menasihatkannya agar jangan menjadi kaya takut beliau tidak dapat menguasai hartanya dan menguasai nafsunya. Oleh kerana berkali-kali di desak oleh Tsa’labah, baginda pun mendoakannya untuk menjadi kaya seperti yang di minta dan memberikannya sepasang  kambing sebagai modal. Setelah kaya raya Tsa'labah telah meninggalkan solat Jumaat dan beliau enggan membayar zakat. Akhirnya beliau mati kerana ditimpa penyakit termasuk semua kambing-kambingnya mati diserang penyakit.

Al-Quran ada menceritakan kisah Qarun dengan hartanya yang banyak, dari seorang miskin beliau minta Nabi Musa a.s. mendoakan dan mengajarkan ilmu untuk menjadi kaya. Akhirnya setelah kaya beliau enggan membayar zakat dan cuba memfitnah Nabi Musa a.s. berzina dengan perempuan pelacur akhirnya Nabi Musa a.s. mendoakan kehancuran Qarun dan dia ditelan bumi termasuk harta-hartanya ke dalam perut bumi.

Firman Allah S.W.T.maksudnya: "Dia (Qarun) berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku”. Dan apakah dia tidak mengetahui bahawa Allah  telah membinasakan umat-umat sebelumnya  yang mana lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu  tentang dosa-dosa mereka." (Surah al-Qasas ayat 78).

Suatu ketika Jibril a.s sedang bersama baginda, dan tiba-tiba datang seorang malaikat yang lain. “Aku khuatir, jangan-jangan ia membawa sebuah tugas untukku,” kata Jibril.

Tetapi si malaikat itu terus berjalan menuju Rasulullah S.A.W.  dan kemudian berkata, “Salam daripada Allah untukmu, Muhammad. Saya membawa kunci-kunci perbendaharaan bumi untuk engkau. Jika engkau mahu, ambillah, nescaya semua yang ada di bumi ini akan menjadi emas dan perak. Semua itu akan abadi bersamamu hingga hari kiamat, dan tidak mengurangi sedikit pun dari apa yang akan engkau peroleh di sisi Allah.”

Mendengar hal itu, Rasulullah S.A.W.  tidak terpesona oleh tawaran duniawi daripada Allah S.W.T.  melalui malaikat tersebut. Baginda menjawab, “Biarlah saya kadang-kadang lapar dan kadang-kadang merasa kenyang.”

Kemudian Allah berfirman maksudnya : "Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu kepada kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka (sebagai) bunga kehidupan dunia agar Kami uji mereka dengan (kesenangan) itu. Kurnia Tuhanmu lebih baik dan lebih kekal."(Suran Taha ayat 131)

Para nabi dan rasul tersebut sentiasa menghindarkan diri daripada terlalu terpesona, jangan sampai menikmati kelazatan yang mungkin mereka ambil daripada kurniaan Allah S.W.T. Mereka berkeyakinan bahawa segala bentuk nikmat yang datang adalah medan ujian yang maha berat daripada AllahS.W.T.

Mereka lebih suka menikmati zikir dan ibadah kepada-Nya. Mereka tidak pernah terpikat dengan kekayaan yang mereka miliki, sehingga tidak pernah pula merasa berduka jika kekayaan itu lenyap daripada tangan mereka. Juga tidak merasa gembira dengan kekayaan tersebut, sehingga tidak perlu berfikir panjang jika hendak memberikannya kepada orang lain.

Menurut ahli tafsir bernama Abu Said Kharraz, mereka adalah seperti yang difirmankan Allah S.W.T.  yang bermaksud: “Mereka  itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah  maka ikutilah jalan petunjuk yang mereka lalui itu.” (Surah al-An’am ayat 90)

Sahabat yang dikasihi,
Apa saja yang sedang kita miliki sekarang ini adalah merupakan ujian daripada Allah S.W.T. Jika kita seorang hartawan, pemimpin masyarakat, doktor perubatan, ahli akademik, pengarah urusan, jurutera, peguam, pensyarah, guru, kerani, ahli perniagaan , buruh kasar dan pekerja ladang kesemuanya akan bertanggungjawab dihadapan Allah S.W.T. diatas tugas dan amanah yang diberikan-Nya.

Untuk menjadi orang yang beriman dan bertakwa bukan bergantung kepada jawatan yang disandang tetapi bergantung pada sekeping hati yang ia miliki. Jika hati itu sentiasa bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan kepadanya dan bersabar dengan ujian yang melanda hidupnya maka dia akan berjaya mendapat reda Allah dan Dia akan menambahkan nikmat dan rahmat-Nya. Tetapi... andainya hati seseorang itu tidak bersyukur dan sentiasa keluh kesah dan tidak reda dengan kehidupannya , sentiasa tidak puas-puas dengan nikmat dunia dan kemaruk dengan pangkat dan pujian, maka dia termasuk orang yang rugi walaupun pangkatnya tinggi melangit dan hartanya melimpah ruah di muka bumi ini.

Di dalam syurga ramai orang miskin yang bersyukur dan di dalam syurga juga terdapat orang kaya yang dermawan, orang berilmu (ulama/guru / professor/pensyarah/penulis) kesemua mereka ketika di dunia telah menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Di syurga jua terdapat ahli perniagaan yang jujur dan amanah yang tidak pernah memberi rasuah untuk mendapatkan projek atau menipu dalam membekalkan barangan kepada orang ramai. Di syurga juga terdapat para pemimpin yang adil ketika menguruskan kepimpinannya dan tidak pernah menipu rakyat. Di syurga juga terdapat ramai pasangan suami isteri yang bergembira dengan nikmat syurga kerana ketika di dunia mereka adalah suami isteri yang soleh dan solehah sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya dan menjadikan Islam itu sebagai cara hidupnya.

Sebaliknya di neraka ramai penghuninya adalah wanita kerana sifat wanita sering tidak bersyukur di atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada suaminya, sering tidak menjaga kehormatan diri dengan membuka aurat, berlaku curang terhadap suami dan suka mengumpat dan mengadu domba. Di neraka juga terdapat golongan manusia yang suka melakukan dosa-dosa besar dan tidak sempat bertaubat sebelum meninggal dunia. Golongan lain ahli neraka juga terdiri daripada para pemimpin masyarakat yang mengambil rasuah dan menipu dan menzalimi rakyat, para wartawan dan penulis berita yang sering mereka-cipta berita palsu dan suka membuat fitnah dan  menyebarkannya, ahli perniagaan yang suka membuat penipuan dalam perniagaannya, menyorok barang keperluan dan membekalkan barang bukan seperti dalam perjanjian. Banyak lagi terdapat dalam hadis-hadis Nabi golongan yang layak menjadi ahli neraka.

Sahabat,
Marilah kita mengkoreksi diri kita, ditahap manakah kita sekarang ini berada? Adakah kita termasuk orang-orang yang mengamalkan amalan-amalan ahli syurga? Atau kita termasuk dikalangan orang-orang yang mengamalkan amalan ahli neraka? na'uzubillahiminzalik!

Nabi S.A.W ada menjelaskan bahawa sesiapa saja diberi kemudahan untuk mengamalkan amalan ahli syurga maka dia akan layak masuk syurga, begitu juga sebaliknya sesiapa yang suka mengamalkan amalan ahli neraka maka dia layak untuk masuk neraka. Oleh itu tepuk dada tanya iman kita, maka iman kita akan memberi jawapannya.

Sebahagian daripada amalan ahli syurga di antaranya ialah menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang kikir kepadamu, memaafkan orang yang menzalimimu, kerana Allah menyediakan syurga bagi orang-orang bertakwa, iaitu orang-orang yang tetap berinfak dalam masa lapang atau pun sempit, menahan perasaan marah, memaafkan manusia, dan Allah menyukai orang-orang yang senantiasa berbuat baik.

Begitu juga sebaliknya sebahagian daripada amalan ahli neraka di antaranya ialah melakukan sihir (santau dan sejenisnya), durhaka kepada orang tua, membunuh jiwa yang Allah haramkan tanpa jalan yang benar, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari peperangan, menuduh wanita  solehah telah berbuat zina, menuduh lelaki baik meliwat, minum arak, berzina, sombong, suka memfitnah dan kikir (kedekut).

Justeru itu marilah kita perbaikilah akhlak dan perbuatan kita dan istiqamah di atas jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang bertakwa dan jalan orang-orang yang diberi nikmat oleh Allah S.W.T

0 comments:

Post a Comment

BLOG INI BERMANFAAT ? LIKE PAGE KAMI !

SAHABAT SEPERJUANGAN