Home » » HUKUM MEROKOK

HUKUM MEROKOK

Written By Lisanul Hakim (Ahmad Shafiq Ismail) on Wednesday, April 27, 2011 | Wednesday, April 27, 2011

Rokok merupakan masalah baru yang tidak dibincangkan oleh para ulamak klasik.
Tembakau atau rokok mula dikenal pada kurun ke 9 atau ke 10 hijrah. Ketika
itulah baru bermunculan pendapat-pendapat dari kalangan para ulamak mengenai
hukumnya. Pelbagai risalah/kitab yang ditulis mengenainya.
Secara ringkasnya, terdapat 4 pendapat tentang hukum merokok, iaitu:

1. Haram
2. Makruh
3. Harus
4. Memperincikan hukum

Berikut ini adalah perinciannya:

1. Haram

Para ulamak dari golongan pertama mengatakannya sebagai haram secara mutlak.
Mereka mengharamkannya atas sebab-sebab berikut:

1. Asap dan bau rokok adalah keji. Firman Allah Taala:
(Al-Araf:157)

2. Rokok mengakibatkan kematian sebahagian penghisapnya. Firman Allah Taala:
(Al-Nisaa:29)

3. Membelanjakan wang untuk rokok merupakan suatu pembaziran. Kerana rokok
tidak membawa sebarang faedah. Firman Allah Taala:
(Al-Isra:26)

4. Rokok mengandungi kemudaratan yang diakui oleh para doktor. Sabda
Rasulullah s.a.w.:
Tidak boleh memberi mudarat dan tidak memudaratkan. (HR Malik, Daruquthni &
Jamaah)

5. Asap dan bau rokok adalah kotor/tidak bersih. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Allah itu bersih dan Dia cintakan kebersihan (HR al-Bazzar)

6. Merokok dapat menyakiti orang yang bersebelahan atau berhampiran
dengannya. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan dan akhirat, janganlah menyakiti
jirannya. (HR Bukhari & Muslim)

2. Makruh

Para ulamak yang berpendapat bahawa rokok itu makruh adalah dengan beberapa
alasan, antaranya ialah:

1. Merokok memudaratkan kesihatan, lebih-lebih lagi jika ia dihisap dengan
banyak. Manakala yang menghisap sedikit, jika dihimpun-himpun akan menjadi
banyak juga.

2. Mengurangkan harta, sekalipun tidak sampai ke peringkat membazir. Padahal,
jika duit itu digunakan untuk perkara-perkara yang bermafaat adalah lebih baik
lagi.

3. Bau dan asap rokok yang tidak enak boleh menganggu dan menyakiti orang lain.
Sama seperti orang yang memakan bawang mentah, petai, jering dsbnya.

4. Masyarakat memandang rendah orang yang menghisap rokok.

5. Melalaikan seseorang dari mengerjakan ibadah secara sempurna.

6. Orang yang ketagihan rokok, fikirannya menjadi tidak keruan apabila tidak
dapat merokok dalam jangka waktu tertentu.
Syeikh Abu Sahal Muhamad bin al-Waiz al-Hanafi mengatakan bahawa kemakruhan
merokok disabitkan dengan dalil yang pasti (qathI), sedangakan keharamannya
disabitkan dengan dalil yang zhanni (tidak pasti).

3. Harus

Bagi golongan ulamak yang membolehkan atas dasar asal setiap makanan dan
minuman itu adalah halal. Hukum ini akan kekal sebagai halal sehingga ada dalil
yang mengharamkannya. Atau ia berada di bawah satu dalil atau kaedah umum yang
membawa kepada hukum haram. Atau diqiyaskan kepada sesuatu yang haram, yang
illahnya bersekutu pada keduanya. Ketika itu barulah haram hukumnya. Mengenai
rokok, tidak ada dalil yang mengharamkannya. Oleh itu ia kekal hukumnya sebagai
harus.
Tentu susah nak fahamkan? Yang senang difahami cuma di akhir itu Rokok
harus hukumnya.
Begini Asal bagi semua makanan adalah halal. Beri contoh apa sahaja makanan
dan minuman, semuanya adalah halal. Roti, ayam, lembu, ikan, babi, anjing,
tikus, tupai, cicak, air sirap, air sarsi, air paip, air mineral dsbnya.
Semuanya itu pada asalnya adalah halal. Sedikitpun tidak haram. TETAPIIa akan
bertukar menjadi haram seandainya:

a. Ada dalil yang mengharamkannya. Seperti daging babi, asalnya adalah halal,
tetapi sebab ada ayat al-Quran yang mengharamkannya, maka ia bertukar menjadi
haram. Jadi, babi itu haram dimakan bukan sebab dirinya itu haram, tetapi sebab
al-Quran mengharamkannya.

b. Di bawah satu dalil atau kaedah umum yang membawa kepada hukum haram.
Seperti, ada ayat al-Quran yang secara umum melarang membunuh jiwa. Jadi, kalau
kita memakan racun yang boleh membawa maut, maka haram hukumnya. Asal racun itu
adalah halal, tetapi oleh kerana ayat suatu ayat umum yang melarang membunuh
jiwa, maka racun itu bertukar menjadi haram dimakan.

c. Diqiyaskan dengan kepada sesuatu yang haram, yang illahnya bersekutu pada
keduanya. Contohnya, dadah. Mana ada di dalam al-Quran yang menyatakan secara
jelas tentang haramnya dadah. Tetapi, ia diqiyaskan dengan khamar yang secara
jelas diharamkan oleh al-Quran. Khamar diharamkan kerana memabukkan. Kerana
memabukkan itulah yang disebutkan sebagai illah (penyebab hukum berlaku). Jadi,
dapat ditarik kesimpulan bahawa setiap perkara yang ada illah itu adalah haram
hukumnya. Dadah, ada atau tidak illah tersebut (memabukkan)? Sudah tentu ada!
Maka dadah juga dihukumkan haram seperti arak.
Jelas bukan?
Ulamak dari golongan ini tidak melihat satu dalil pasti/qathiI yang
mengharamkan rokok. Mereka menolak hujah pendapat ulamak yang mengharamkan
rokok dengan katanya:
Dalil yang digunakan untuk mengharamkan rokok dilalahnya (petunjuk hukum)
bersifat zhanni (tidak pasti). Perkataan keji di dalam ayat yang diberi
adalah tidak tepat jika memasukkan asap rokok ke dalam sebahagian dari maksud
`keji yang dikehendakki oleh al-Quran. Begitu juga dengan membunuh jiwa. Ia
tidaklah secara yakin berlaku kepada semua perokok dan dalam semua keadaan.
Mengenai kemudaratan merokok pula, tidaklah semua yang memudaratkan itu haram
hukumnya. Ada mudarat yang tidak haram. Kemudaratan adalah sesuatu yang besifat
nisbi ada yang haram dan ada yang makruh. Tentang hujah mengatakan ia
menyakitkan/mengganggu, sama seperti memudaratkan. Tidak semuanya haram, ada
juga menyakitkan itu hanya makruh sahaja. Samalah halnya dengan hujah lain yang
diketengahkan, iaitu: kebersihan dan pembaziran. Tidak semuanya haram, kerana
di sana ada yang makruh sahaja hukumnya.
Begitulah mereka yang berpendapat bahawa rokok itu harus.

4. Memperincikan hukum

Ulamak dari golongan ini pula memperincikan hukum merokok. Bagaimana? Mereka
mengatakan, ya, perlu dilihat dahulu keadaannya bagaimana. Jika seseorang itu
merokok hingga menjejaskan kesihatannya (menurut doktor yang dapat dipercayai),
sudah tentu haram hukumnya. Begitu juga jika perokok itu membelanjakan wangnya
untuk membeli rokok sehingga menjejaskan kewajipan nafkah terhadap keluarganya,
maka haram hukumnya ketika itu.
Dalam keadaan lain, merokok hukumnya makruh jika ia tidak menjejaskan
kesihatan dan harta. Kerana ia merokok merupakan tempat yang diduga akan
memudaratkan kesihatan dan menjejaskan kewangannya. Juga kerana baunya yang
tidak enak yang mengganggu orang lain.
Begitulah gayanya pendapat dari golongan ini.
-----------------------
Tarjih
1. Dr. Yusof al-Qardhawi lebih cenderung kepada hukum haram merokok..
2. Para ulamak Hijaz juga cenderung kepada hukum haram merokok.
3. Syeikh Mahmud Syaltut cenderung kepada hukum haram merokok.
4. Syeikh Abu Sahal Muhamad bin al-Waizh al-Hanafi condong kepada hukum
makruh.
5. Syeikh Abdul Ghani al-Nabilisi mengatakan Harus
6. Syeikh Athiyah Saqr condong kepada pendapat yang memperincikan hukum
merokok.
********
Bagaimana? Kami tahu, bagi yang merokok, bila membaca pendapat pertama yang
mengatakan haram merokok, rasa bengang dan sesak nafas. Bila, baca pendapat
kedua yang kata makruh sahaja hukumnya, ada rasa lega sedikit. Bila membaca
pendapat ketiga yang mengatakan merokok ini harus sahaja hukumnya, fuuhh! Rasa
lega betul Dan akhirnya pendapat keempat yang memperincikan hukumnya, rasa
lega itu susut sedikit.

Bagi yang tidak merokok pula Mereka tidak banyak soal. Haram hukumnya.
Bagi yang merokok, sekarang ini beginilah.. Tidak kiralah apa juga hukumnya,
haram atau makruh, kita semua pakat tahu bahawa merokok itu membahayakan
kesihatan. Tak perlulah kami menyatakan lapuran para doktor mengenai perkara
ini. Semua telah sedia maklum. Dan, dari sudut menghamburkan wang kepada
sesuatu yang tidak berfaedah seperti rokok juga kita telah sedia ketahui.
Kemudian ditambah lagi dengan syarikat pengeluar rokok, entah siapa di belakang
mereka.. Tetapi yang pasti mereka adalah orang kafir yang banyak menaja
perkara-perkara merosakkan umat Islam. Inipun semuanya sudah mengerti.
Jadi. Bagaimana ya? Berhenti merokok?

Ya, memang mudah disebut, tetapi sukar dilaksanakan.
Kami tahu para netters sekalian adalah orang-orang yang amat mencintai Islam.
Bahkan pejuang Islam. Hatta kami di sinipun banyak kalah dari segi semangat,
keazaman dan kerja-kerja anda semua ke arah membumikan kembali al-Quran dan
Sunnah di tanah air tercinta.

Dengan itu, kami percaya anda semua sudah berazam untuk berhenti merokok.
Bukanlah disebabkan oleh kesihatan tetapi atas alasan agama. Kecintaan kepada
Islam. Ada yang telah berusaha berkali-kali untuk berhenti tetapi tidak
berjaya. Ada juga yang berjaya, kemudian menghisap kembali. Ada yang terus
berazam, dan terus berazam.

Teruskanlah usaha anda. Dan, bagi yang tidak merokok pula, janganlah mengeji,
apatahlagi menghina kepada saudara-saudara kita yang merokok. Adalah menjadi
kewajipan kita untuk membantu, memberi galakkan dan dsbnya agar azam dan usaha
mereka berjaya.

Oh!! Betapa siksanya mahu berhenti merokok
Sekian adanya. Wallahu alam

0 comments:

Post a Comment

SAHABAT SEPERJUANGAN