Kita bakal pemimpin bukan?
Bukan lagi pemimpin di tempat-tempat yang khusus, malah kita pemimpin dunia.
Bukan lagi pemimpin pada masa-masa tertentu, malah pada setiap masa untuk diri kita sendiri terutamanya.
Pemimpin yang berjaya, seharusnya mempunyai matlamat yang jelas dan cara kerja atau strategi yang sukses demi mencapai sebuah kemenangan yang nyata dan disegani.
Haruskan seorang pemimpin itu disegani?
Ya, seharusnya selagi dia tidak melanggar segala undang-undang yang telah digariskan Allah S.W.T. Ya, seharusnya selagi dia tidak menjadikan nafsu sebagai cara kerja memimpinnya.
Dan kita para daie adalah pemimpin yang sebenarnya. Kitalah yang mengendalikan dakwah.
Memimpin manusia untuk mengenali apa erti lurusnya sebuah jalan. Mengajar manusia untuk lebih memahami apa erti sebenar sebuah kebenaran. Meletakkan manusia untuk berada di tempat yang bercahaya.
Jalan yang lurus, itulah jalan yang mesti ditempuh. Jalan yang lurus, itulah jalan yang mesti diikut.
Jalan yang lurus, itulah jalan yang penuh kesusahan. Jalan yang lurus, itulah jalan yang tidak akan memberikan erti kepuasan dengan cepat. Jalan lurus inilah mengajar para daie untuk terus berusaha.
Kerana apa?
Kerana inilah tugas pemimpin. Perlu memuaskan hati rakyatnya.
Dan untuk bumi ini, Islam itulah adalah kepuasan untuk penduduknya. Iman itu adalah cahayanya.
Tidak cukup hanya dengan keadilan undang-undang, jika sebelumnya tidak wujud Iman. Tidak cukup hanya dengan kuasa yang ada jika sebelumnya tidak wujud Iman. Kerana dengan Iman, undang-undang akan tercipta dengan sendirinya.
Lihat sahaja sirah terdahulu.
Apabila larangan meminum arak diturunkan, serta-merta bandar Mekah itu banjir dengan minuman-minuman keras.
Mereka bertegas mencampakkan botol-botol arak yang ketika itu berada dalam tangan mereka.
Dari Anas Bin Malik A.S :
"Aku memberikan minuman khamar kepada Abu 'Ubaidah dan Ubay bin Ka'ab, lalu datang orang mengatakan:" Sesungguhnya minuman keras telah dilarang". Maka Abu 'Ubaidah berkata: "Hai Anas! Berdirilah dan tumpahkanlah minuman keras itu!" Lalu saya tumpahkan kesemuanya.(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Inilah kuasa Iman yang lebih tinggi kuasanya dari kuasa hakim-hakim seluruh dunia. Kuasa Iman yang tinggi mampu menundukkan apa jua jenis kuasa dunia.
Sebut apa jua peraturan, jika tiada Iman sebelumnya, anda akan melihat betapa ramai ummat manusia akan melanggarinya. Kerana itu, ummat manusia sekarang ini kian tidak mengerti betapa pentingnya Iman.
Iman hanya dianggap sebuah objek yang diguna pakai apabila tiba masanya atau Iman hanya diletakkan pada tempat yang difikirkan sesuai.
Maka, seharusnya menjernihkan Iman kita terlebih dahulu sebelum berusaha menjernihkan iman manusia yang lainnya. Barulah pemerintahan itu akan tersinar kesuciannya.Dan lebih terjamin kuasanya !
Ajar manusia erti kebinasaan. Ajar manusia erti kehancuran. Inilah simboliknya keadaan tanpa Iman. Besarnya pengaruh kebinasaan ini sehingga kita akan terlupa betapa pentingnya nilai dan harga sebuah Iman.
Seharusnya kita mengenali jiwa-jiwa pemimpin agung yang sudah terbukti sejarah hidup mereka penuh kegemilangan.
Kenali kelebihan mereka. Kenali cara kerja mereka. Kenali matlamat mereka. Kenali potensi-potensi diri mereka. Paling penting, kenali betapa sucinya perjuangan mereka!
Bagaimana Rasulullah S.A.W memimpin sehingga namanya, peribadinya masih diketahui sehingga kini?
Bagaimana As-Syahid Hassan Al-Banna mampu mengubah dunia sehingga namanya dikenali sehingga kini?
Bagaimana Syeikh Ahmad Yassin memegang tampuk kekuasaan sehingga dia disegani sehingga kini?
Bukalah lembaran sejarah hidup mereka.
Tidak lari ke mana perjuangan mereka melainkan hanya dengan berlandaskan Iman semata! Tidak lari ke mana melainkan kematian mereka itu satu kemulian yang dibualkan para penghuni langit dan dunia!
Inilah pemimpin yang berkuasa dengan kuasa yang sebenarnya. Tidak perlukan kuasa mata wang, kuasa pangkat. Hanya perlukan kuasa Iman untuk memonopoli dunia.
Inilah juga, corak kepimpinan yang harus kita ikuti. Corak kepimpinan yang diredhai, yang lebih tulus dan mulus perjalanannya!
Dalam mengenali jiwa seorang pemimpin, jiwa rakyat tidak seharusnya kita lupakan.
Jiwa-jiwa mereka yang diperintah, diberi penelitian yang lebih dalam membina jiwa-jiwa mereka. Mendidik mereka untuk cintakan jalan yang kita cintai.
Mentarbiyyah mereka untuk mendekatkan diri dengan apa yang kita dekati. Kenali ragam mereka. Tahu keinginan mereka. Ikat hati mereka dengan kuasa yang kita ada.
Iman dan dakwah.
Kita juga tahu betapa susah ingin memberi kefahaman kepada manusia yang sebelum ini tidak mengetahui dengan jelas apa sebenarnya tanggungjawab mereka bukan
Apatah lagi menaklifkan sesuatu tugasan yang sememangnya berat dan payah. Dan tugas itu ibarat menjadi satu paksaan, bukan lagi dengan kerelaan hati yang sedia ada.
Sebut sahaja paksaan, sudah terasa benar pahitnya. Bukankah jiwa-jiwa rakyat harus kita ikat dengan kasih dan sayang. Kasih dan sayang inilah yang melahirkan kerelaan hati mereka untuk bersama-sama turut serta bersama kita.
Pancaran kebenaran, diiringi sinar keikhlasan, mampu menggegarkan jiwa-jiwa mereka. Allah S.W.T juga memerintah kita dengan kasih dan sayang.
Masih mahukan kita memerintah manusia tanpa ikatan hati yang kuat dan kukuh?
Pemimpin itu akan sentiasa menjadi tauladan bagi orang yang diperintahnya. Dia ibarat sumber cahaya menerangi kebenaran. Dia ibarat sumber tenaga memberi semangat kepada rakyatnya.
Di sinilah betapa pentingnya qudwah hasanah. Rasulullah S.A.W juga mendahului dakwahnya dengan sifat-sifat yang mulia. Gelaran al-Amin yang diberikan merupakan satu kelebihan yang nyata.
Seluruh penduduk Mekah mengenali Baginda S.A.W. Malangnya, setelah datangnya Islam, gelaran itu seolah telah menghilang, semacam tidak pernah wujud.
Walhal pada hakikatnya, al-Amin pada diri Baginda S.A.W tidak pernah hilang! Malah, Baginda S.A.W berterusan menjadi ikutan para sahabat yang lainnya.
Maka, lahirlah para sahabat yang tidak kurang juga hebatnya. Abu Bakar A.S yang terkenal dengan kelembutannya. Umar A.S yang terkenal dengan ketegasannya.
Betapa penting seorang daie itu menanamkan keinginannya untuk memimpin ummat manusia. Bukan gilakan kuasa, tetapi gilakan kemenangan agar Islam tertegak di atas muka bumi ini.
Tohmahan yang tinggi mengajar seorang daie itu tidak gentar dengan cabaran. Apa yang perlu ditakuti adalah jika seorang daie itu tidak pernah melakukan sebarang percubaan.
Hanya menantikan kemenangan datang bertandang tanpa usaha untuk menang! Ini namanya daie yang goyang kaki! Daie yang tidak kenal fungsi seorang daie. Inilah seorang daie yang tidak optimis.
Dia tidak merasakan dialah pemimpin yang telah bersedia untuk mewaqafkan dirinya untuk Islam. Dia merasakan masih penting untuk memenuhi kehendak dirinya berbanding kehendak Islam itu sendiri.
Sewajarnya, dia memikirkan Islam dan dakwah terlebih dahulu berbanding dirinya. Dia merasakan banyak dosanya itu akan terhapus dengan terkorbannya dia di atas jalan kebenaran ini.
Dia akan berusaha dengan usaha yang semaksimum mungkin. Inilah baru pemimpin yang sebenar!
Pemimpin yang tahu harga nilai dirinya. Pemimpin yang tahu menyusun kepentingan urusannya.
Iradah qawiyah akan sentiasa dijadikan titik tolak untuk mencapai kemenangan. Iradah qawiyah atau kemahuan yang kuat ini mampu mengalahkan satu batalion tentera yang sedang berharapkan kemenangan.
Demikianlah, hakikat diri seorang pemimpin manusia. Pemimpin yang mahu menjadikan Islam itu undang-undang dunia.
Kita adalah daie yang harus tahu ke mana hala tujunya dalam memimpin manusia. Kerana itulah, dakwah adalah sebaik-baik jalan kerja!
Sekian. Dari hati seorang manusia yang juga mahu memimpin manusia satu hari nanti.
0 comments:
Post a Comment