Home » » Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman bertentangan Al-Quran dan Sunnah

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman bertentangan Al-Quran dan Sunnah

Written By Teratak Al-Fateh Training & Consultancy on Wednesday, December 07, 2011 | Wednesday, December 07, 2011

Pemerintah Sekular Malaysia telah membentangkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman dan disifatkan sebagai tindakan terdesak untuk menghadapi gelora kebangkitan umat.

Tindakan Pemimpin Mohd Najib Razak membentang Rang Undang-Undang tersebut pada 24 November 2011 lalu merupakan satu langkah untuk menghalang rakyat dari terus menyuarakan kezaliman yang mereka lakukan.

Akta / Rang Undang-Undang yang bersifat mencegah atau melarang sama sekali sebarang perhimpunan di negara ini.

Apakah itu Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman?

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman adalah bertujuan memastikan semua warganegara mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan atau untuk menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata, tertakluk kepada sekatan-sekatan yang didapati perlu demi kepentingan, keselamatan dan ketenteraman awam seperti yang termaktub dalam Fasal 2 Perkara 10 Perlembagaan Sekular. 

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 mempunyai 27 Fasal dan 6 Bahagian. Antaranya :-

Fasal 4 tidak membenarkan penganjuran dan penyertaan perhimpunan oleh bukan warganegara, perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had tempat larangan dan apa-apa protes jalanan dan seorang yang berumur 21 tahun ke atas boleh menganjur dan menyertai perhimpunan, sementara kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan. Individu yang merekrut atau membawa kanak-kanak ke suatu perhimpunan atau membenarkan kanak-kanak menghadiri suatu perhimpunan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabit boleh didenda tidak melebihi RM20,000.

Fasal 8 memperuntukkan bahawa seseorang pegawai polis boleh mengambil apa-apa langkah sebagaimana yang difikirkannya perlu untuk memastikan perhimpunan dikendalikan dengan teratur mengikut akta dan mana-mana undang-undang lain.

Fasal 9 mengkehendaki penganjur, dalam masa 10 hari sebelum tarikh perhimpunan, memberitahu pegawai yang menjaga daerah polis di mana perhimpunan itu hendak dibuat.Seseorang yang tidak mengemukakan pemberitahuan mengenai perhimpunan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Fasal 15 membolehkan pegawai yang menjaga daerah polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat ke atas suatu perhimpunan bagi maksud keselamatan atau ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain. Mana-mana orang yang melanggar mana-mana sekatan dan syarat yang dikenakan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Fasal 20 memberi seseorang pegawai polis kuasa untuk menangkap tanpa waran mana-mana penganjur atau peserta yang enggan atau tidak mematuhi mana-mana sekatan yang dikenakan. Pegawai polis hendaklah sebelum menjalankan kuasa menangkap di bawah seksyen ini, mengambil semua langkah yang ada untuk memastikan pematuhan sukarela oleh penganjur dan peserta. Kuasa menangkap tanpa waran diperuntukkan bagi memastikan polis dapat menjalankan tugas untuk memastikan perhimpunan dijalankan secara aman dan teratur.

Fasal 25 memberi Menteri kuasa, melalui pemberitahuan dalam Warta, menetapkan mana-mana tempat sebagai tempat perhimpunan yang ditetapkan.

Fasal 26 dan 27 masing-masing memberikan Menteri kuasa untuk meminda Jadual dan membuat peraturan-peraturan bagi perjalanan yang lebih baik peruntukan akta ini.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman bertentangan Al-Quran dan Sunnah

Malangnya, di sebalik suara-suara dan usaha-usaha oleh sesetengah kaum Muslimin sama ada secara individu mahupun gerakan dalam menentang Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 ini, sungguh menyayat hati apabila ada pihak yang tidak menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai nas untuk menolak rang undang-undang tersebut, namun mereka merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘nas’ utama mereka, khususnya Perkara 10 Perlembagaan yang memperuntukkan hak bagi setiap warganegara untuk berhimpun secara aman.

Bagi non-Muslim yang menolak rang undang-undang tersebut, sudah sewajarnyalah jika mereka menggunakan Perlembagaan Persekutuan sebagai hujah kerana agama mereka tidak mengandungi ‘hukum-hakam’ dalam bab ini.

Namun bagi orang/gerakan Islam yang menentang rang undang-undang tersebut tetapi menggunakan Perlembagaan ciptaan kafir penjajah itu sebagai ‘nas’, hal ini sungguh telah tersasar jauh dari Islam dan amat mendukacitakan.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 adalah bertentangan dengan Islam kerana Islam tidak pernah menghalang, malah mewajibkan umatnya untuk melakukan muhasabah kepada pemerintah dalam apa jua bentuk yang syar’ie.

Islam mengajar penganutnya bahawa tidak perlu meminta izin dari pihak polis atau pun pihak Menteri untuk memuhasabah pemerintah, malah jauh sama sekali untuk mengenakan denda kepada orang yang memuhasabah pemerintah!

Inilah hukum Islam dalam hal ini dan hanya hukum-hakam Islam sahaja yang wajib dirujuk di dalam menilai ‘sah-batil’ sesuatu undang-undang/tindakan.

Justeru, rang undang-undang taghut (bertentangan dengan Islam) yang diluluskan itu seharusnya dinyatakan dan ditentang kebatilannya berdasarkan Al-Quran dan Sunnah, bukannya dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan taghut yang paling besar di Malaysia.

Sungguh amat menyedihkan apabila ada orang/gerakan Islam yang menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘hakim’ di dalam menilai kebatilan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman tersebut. 


Undang-Undang Sekular menggugat Akidah Umat

Sedarlah wahai kaum Muslimin, bahawa Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 ini adalah buah busuk yang keluar daripada pohon beracun demokrasi yang sedang menaungi Malaysia ketika ini. 

Pohon demokrasi ini, walaupun kelihatan cantik, tetapi sesungguhnya dipenuhi racun, bisa dan duri yang boleh dan telah menghakis sedikit demi sedikit akidah umat Islam yang bernaung di bawahnya, yang terpukau dengan keindahannya. 

Sedarlah wahai kaum Muslimin bahawa selagi pohon ini tidak ditebang dan dibuang dari akar umbinya, maka selagi itulah ia akan terus menghasilkan buah-buah yang busuk lagi beracun.

Walau apa sekalipun usaha pemerintah dalam memastikan mereka tetap bertakhta, sesungguhnya kebangkitan Islam dan umat Islam akan tetap berlaku.

Umat Islam sudah tidak lagi takut dengan pemerintah walaupun nyawa dan harta mereka menjadi galang gantinya.

Mereka sudah sedar bahawa itulah risiko perjuangan yang bakal mereka terima di dunia yang akan digantikan oleh Allah SWT dengan nikmat yang tidak terhingga di akhirat kelak. 


Perjuangan menegakkan Agama Allah 

Perjuangan menegakkan agama Allah adalah sebuah perjuangan yang benar dan tidak ada pilihan perjuangan lain dalam kehidupan ini kerana itulah satu-satunya kebenaran yang hakiki. 

Faktor ini menjadi dorongan, harapan dan semangat yang sangat kuat bagi umat Islam yang memperjuangkannya, walaupun dihalang dengan pelbagai halangan. 

Umat Islam yang ikhlas dalam perjuangannya sentiasa memahami bahawa perjuangan mereka direstui oleh Allah SWT dan dijanjikan kemuliaan olehNya sama ada dengan meraih kemenangan/kesyahidan di dunia mahupun syurga di akhirat kelak. 

Itulah janji Allah SWT dan Allah adalah Zat yang tidak akan memungkiri janjiNya. Tidak ada lagi janji yang lebih pasti melainkan janji Allah dan Maha Suci Allah yang akan menunaikan janjiNya ke atas para pejuang deenNya. 




Sumber : 

0 comments:

Post a Comment

SAHABAT SEPERJUANGAN