Home » » PMRAM : Pengarah EME : Tiada Imtihan Qabul Di Malaysia Tahun Ini

PMRAM : Pengarah EME : Tiada Imtihan Qabul Di Malaysia Tahun Ini

Written By Teratak Al-Fateh Training & Consultancy on Wednesday, September 25, 2013 | Wednesday, September 25, 2013

Berikutan timbul pelbagai pertanyaan daripada pelbagai pihak berhubung status perlaksanaan imtihan qabul (ujian kelayakan) di Malaysia terutama mahasiswa baru yang bakal melanjutkan pengajian mereka di Universiti Al-Azhar Mesir. Hari ini pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengambil inisiatif menghubungi pihak Education Malaysia Egypt (EME) secara langsung bagi mengetahui status terkini berhubung perkara tersebut.

Hasil daripada pertanyaan itu, Datuk Dr. Prof.Sua'idi bin Dato' Haji Shafei, Pengarah EME memaklumkan kepada PMRAM bahawa imtihan qabul pada tahun ini tidak akan dilaksanakan di Malaysia sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum daripada ini . Ini berikutan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia tidak bersedia untuk melaksanakan ujian kelayakan tersebut dalam waktu yang terdekat walaupun pihak Al-Azhar telah bersetuju dengan cadangan pihak EME untuk perlaksanaan imtihan qabul di Malaysia tahun ini . Oleh itu, imtihan qabul pada tahun ini akan diadakan di Mesir sepenuhnya.

Justeru, PMRAM mencadangkan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab di Malaysia yang menguruskan kedatangan pelajar baru ke Mesir ini agar menyegerakan proses penghantaran pelajar ke sini selewat-lewatnya awal Oktober depan . Ini adalah untuk membantu proses persediaan dan persiapan para pelajar untuk menghadapi imtihan qabul dalam waktu yang sesuai.

Kami di peringkat PMRAM akan cuba sedaya upaya membantu mahasiswa baru dalam membuat persiapan untuk menghadapi ujian kelayakan tersebut . Kami juga mengharapkan agar semua pihak memberi kerjasama yang sebaiknya demi memastikan cita-cita dan harapan para pelajar melanjutkan pengajian mereka di bumi kinanah ini menjadi kenyataan. 

Oleh yang demikian, dalam tempoh yang berbaki ini, Kita PMRAM juga mengharapkan agar para ibubapa memberi galakan dan sokongan padu kepada anak-anak mereka agar mereka terus bersemangat menuntut ilmu di bawah bumbung Al-Azhar ini sekaligus memberi manfaat yang besar kepada masyarakat di tanah air kelak.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Ahmad Shahrir bin Alias
Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2013

3 comments:

SAHABAT SEPERJUANGAN