Home » , » MANHAL PMRAM : Mafqud ( Orang Yang Hilang ) - Pandangan Islam Dan Hukum Berkaitan Dengannya

MANHAL PMRAM : Mafqud ( Orang Yang Hilang ) - Pandangan Islam Dan Hukum Berkaitan Dengannya

Written By Teratak Al-Fateh Training & Consultancy on Monday, April 14, 2014 | Monday, April 14, 2014

PENDAHULUAN

Islam meletakkan satu asas yang begitu kukuh dalam menyelesaikan semua masalah manusia. Penurunan al-Quran dan pengutusan Nabi Muhammad S.A.W merupakan dua sumber utama yang menjadi sandaran dan rujukan bagi umat Islam. Oleh yang demikian, sebesar mana sekalipun masalah yang manusia hadapi, Islam pasti mempunyai jalan keluarnya.

Tragedi kehilangan pesawat komersial MAS MH370 pada awal Mac yang lalu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing masih belum mampu dikesan sehingga ke hari ini dan ia merupakan salah satu daripada kes-kes yang besar melibatkan prestij Malaysia di mata dunia. Tragedi seumpama ini perlu ditangani dengan baik dan teliti kerana ia juga melibatkan soal masa depan pihak keluarga kepada mangsa yang terlibat.

Dalam masalah ini, Islam telah mendepani akan segala sudut perbincangannya. Justeru itu, suka kami kemukakan beberapa perbahasan dan pandangan yang berkaitan dengan tragedi tersebut untuk dinilai oleh para pembaca.

TAKRIF MAFQUD

Mafqud: Seseorang yang hilang dan tidak diketahui tempat keberadaannya ataupun orang yang terpisah daripada keluarganya dan tidak diketahui khabar berita sama ada hidup mahupun mati.

Takrifan ini turut meliputi semua kes berikut:

1) Seseorang yang keluar daripada rumahnya kemudian tidak pulang dan terputus khabar beritanya sekalipun, pada zahirnya dia dianggap selamat.

2) Seseorang yang hilang tetapi zahirnya dilihat tidak selamat seperti hilang dalam peperangan, kapal karam yang menyebabkan sebahagian penumpangnya lemas dan ahli keluarga tidak mengetahui keadaannya sama ada dia turut lemas ataupun tidak.

Daripada pentakrifan ini, maka para ulama telah mengecualikan beberapa kes yang tidak termasuk dalam pentakfifan mafqud iaitu tahanan yang diketahui tempat tahanannya dan statusnya yang masih hidup (diketahui khabar mengenainya). Begitu juga para tahanan yang tidak diketahui tempat penahanannya (secara tepat) sekalipun telah diketahui kawasan penahanannya, maka dia tergolong dalam kalangan mereka yang ditahan di tempat tersebut.

Bagi golongan yang dikecualikan daripada takrifan mafqud ini, para ulama telah meletakkan hukum yang khusus bagi mereka yang tidak termasuk dalam hukum mafqud.

Perbahasan di sini hanya melibatkan golongan yang terputus khabar berita dan secara zahirnya, mereka telah terlibat dalam kebinasaan ekoran kehilangan tersebut.

Ibnu Abidin menjelaskan pengertian mafqud ini dengan:

"فالمراد إنما هو على الجهل بمكانه, لذلك عرفوه بأنه على الظن لم يدر احى هو فيتوقع, ام مات أودع اللحد البلقع"
“Mereka yang tidak diketahui posisinya, yang demikian mereka dianggap hilang atau ghaib. Tidak diketahui sama ada hidup ataupun mati."

KEHILANGAN PESAWAT MH370: PERSOALAN YANG PERLU DIRUNGKAIKAN

Tragedi kehilangan pesawat MAS MH370 ini juga termasuk dalam hukum mafqud dengan merujuk kepada takrif yang telah diberikan. Ini kerana pesawat tersebut masih lagi belum ditemui serta tiada bukti yang kukuh untuk mendakwa bahawa ia telah terhempas dan kesemua penumpangnya telah terkorban. Tiada sebarang bahan bukti yang dijumpai seperti kotak hitam pesawat, bangkai, serpihannya atau penumpang yang diyakini akan kematian mereka.

Berdasarkan kepada perkara-perkara tersebut, maka terdapat tiga persoalan utama yang telah diperhalusi oleh para fuqaha dan tokoh-tokoh yang telah diiktiraf akan keabsahan keilmuan mereka seperti berikut:

1. Tempoh pengesahan kematian.

2. Status ikatan pernikahan antara suami dan isteri.

3. Pembahagian harta pusaka kepada waris.

TEMPOH MENUNGGU BAGI INDIVIDU YANG HILANG

Mujamma' Fiqh Islam Sedunia kali ke-21 yang bersidang pada 24 hingga 28 Muharram 1434 Hijrah bersamaan dengan 8-12 Disember 2012 bertempat di Mekah Mukarramah telah meneliti akan penetapan tempoh menunggu ke atas mafqud. Perbincangan untuk menentukan tempoh menunggu ini juga dikira berdasarkan kesan-kesan yang terpaksa ditanggung oleh pihak keluarga mangsa dan hartanya.

Selepas beberapa penelitian dibuat, ahli sidang bersepakat bahawa kes kehilangan pesawat MAS MH370 diklasifikasikan sebagai masalah ijtihadiah(memerlukan pengkajian dan ijtihad para fuqaha). Ini kerana tiada nas atau dalil daripada al-Quran dan hadis berkaitan masalah tersebut secara khusus. 

Akan tetapi, terdapat beberapa athar(sandaran) yang boleh didapati daripada riwayat hidup para sahabat Nabi S.A.W merujuk kepada kaedah mengimbangi maqasid(tujuan-tujuan) umum dalam pensyariatan Islam iaitu menjaga agama, jiwa (nyawa), maruah, keturunan dan harta. Di samping kaedah menghilangkan kepayahan, kebinasaan dan waspada dalam perkara-perkara tertentu. Maka, Mujamma' Fiqh Islam Sedunia telah mengeluarkan beberapa resolusi seperti berikut:

1. Individu yang hilang tidak boleh didakwa telah meninggal dunia sehinggalah disabitkan dan dibuktikan keadaannya sama ada hidup ataupun mati. Tempoh menunggu sebelum diisytiharkan statusnya bergantung kepada penentuan daripada qadhi(hakim atau pemerintah) iaitu minimum setahun dan maksimum tidak melebihi empat tahun daripada tarikh kehilangannya.

Penetapan status boleh dibuat dengan syarat, usaha untuk menjejakinya dilaksanakan secara optimum dengan menggunakan teknologi moden serta meraikan keadaan semasa dan kemudiannya dihukumkan berdasarkan kepada zhan(ramalan) yang paling kuat.

2. Setelah melepasi tempoh yang ditetapkan oleh qadhi, mafqud boleh dihukumkan sebagai orang yang telah meningggal dunia, dan harta peninggalannya juga boleh diagihkan kepada waris serta pihak-pihak yang berkaitan.

3. Bagi isteri yang kehilangan suaminya, maka dia dibenarkan untuk mengadu masalah tersebut kepada qadhi untuk memisahkan antara mereka sekiranya dia berada dalam keadaan terdesak sepanjang tempoh menunggu tersebut. Keringanan tersebut disepakati sekiranya si isteri mematuhi syarat-syarat yang dibenarkan oleh syarak dan ia juga bertujuan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.

HUKUM BAGI ISTERI YANG KEHILANGAN SUAMI: PANDANGAN MAZHAB DALAM ISLAM

Secara umumnya, isteri yang kehilangan suami(mafqud) tidak terkecuali daripada dua keadaan berikut:

1. Suami yang hilang dalam keadaan kehilangannya itu tidak membawa kepada terputusnya khabar berita bahkan keadaannya diketahui dan boleh dihubungi. Dalam keadaan ini, si isteri tidak berhak untuk berkahwin lain berdasarkan kepada ijmak para ulama. Namun sekiranyanya suami gagal untuk memberi nafkah harta kepada isterinya, maka isteri berhak untuk menuntut fasakh melalui qadhi.

2. Suami yang hilang dalam keadaan terputus berita dan tidak diketahui lokasi keberadaannya. Dalam keadaan ini, para fuqaha berselisih pendapat kepada beberapa pandangan seperti berikut:

1) MAZHAB HANAFI DAN SYAFIE (QAUL JADID): 

Ikatan pernikahan mereka berdua sah. Isteri yang kehilangan suaminya tidak boleh berkahwin lain sehinggalah terbukti kematiannya. Dalam keadaan ini, si isteri digalakkan untuk bersabar di atas ujian yang menimpa dirinya. 

Daripada saidina Ali bin Abi Talib R.A pernah berkata:

امرأة المفقودة ابتليت فلتصبر ولا تنكح ياتيها موته 

Maksudnya: "Wanita yang kehilangan suami merupakan ujian ke atasnya, maka hendaklah dia bersabar dan janganlah dia berkahwin sehingga telah terbukti akan kematian suaminya."

Pendapat ini didasari hujah yang pernah diriwayatkan daripada Mughirah, bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda:

امراة المفقود امرأته حتى يأتي زوجها

Yang bermaksud: "Wanita yang kehilangan suaminya, maka dia masih lagi isteri (kepada suaminya) sehinggalah datang kepadanya akan berita (kematian suaminya)."

2) MAZHAB HANBALI: Kenyataan muktamad para fuqaha Mazhab Hanbali berdasarkan kepada pendetilan tafsiran “ghaib” (hilang) seperti berikut:

I. Sekiranya kehilangan pada zahirnya adalah halak(binasa) seperti orang yang hilang daripada keluarganya sama ada siang ataupun malam, ataupun seseorang yang keluar untuk solat kemudian dia tidak pulang, ataupun pergi ke tempat yang dekat untuk menunaikan hajat kemudian dia pulang tanpa khabar berita, ataupun hilang dalam medan peperangan, ataupun kapal karam dan dikhuatiri lemas, ataupun disyaki hilang dalam bencana yang besar. Maka pada waktu ini si isteri hendaklah:

i. menunggu selama empat tahun. 

ii. kemudian beriddah(berkabung) atas kematian suaminya selama empat bulan 10 hari dan selepas itu barulah dia dibenarkan untuk berkahwin. 

Perkara ini tidak terikat dengan keputusan hakim dan keluarga suami. Akan tetapi, setelah berakhirnya tempoh menunggu dan tempoh iddah, maka si isteri halal untuk berkahwin dengan orang lain.

Pandangan ini disandarkan kepada riwayat Saidina Umar Al-Khattab R.A:

" أنه جاءته امرأة فقد زوجها، فقال: تربصي أربع سنين، ففعلت، ثم أتته فقال: تربصي أربعة أشهر وعشراً، ففعلت، ثم أتته فقال: أين ولي هذا الرجل؟ فجاؤوا به، فقال: طلقها، ففعل، فقال عمر: تزوجي من شئت. " 
(رواه الأثرم والجوزجاني والدارقطني)

Maksudnya: "Sesungguhnya telah datang kepada baginda seorang wanita yang kehilangan suami, maka baginda berkata: Tunggulah kamu selama empat yang tahun, lalu wanita tersebut melaksanakannya. Kemudian baginda didatangi semula, maka baginda berkata: berkabunglah kamu selama empat bulan sepuluh hari, lalu wanita tersebut melaksanakannya. Kemudian baginda didatangi semula oleh wanita tersebut, lalu baginda bertanya: Di manakah wali kepada lelaki ini (si suami yang hilang)? Maka mereka mendatangkannya. Baginda berkata: Ceraikanlah wanita tersebut, lalu dia (wali kepada suami yang hilang) melakukannya. Maka berkatalah Umar: Nikahilah sesiapa yang kamu mahu." 

(Riwayat Al-Jurjani dan Daruquthni)

Namun sekiranya si suami kembali semula setelah isterinya berkahwin dengan lelaki lain, maka isteri itu perlu berpisah dengan suami keduanya.

II. Sekiranya kehilangan suami pada zahirnya dilihat selamat seperti permusafiran untuk tujuan perniagaan yang kebiasaannya selamat, ataupun bertujuan untuk menuntut ilmu dan juga melancong. Maka dalam keadaan ini, para fuqaha Mazhab Hanafi meletakkan waktu menunggu selama 90 tahun bermula dari tarikh si isteri dilahirkan, kemudian dia beriddah dan selepas itu halal baginya untuk berkahwin lain.

3) MAZHAB MALIKI: Mafqud di sisi pandangan mazhab maliki boleh dibahagikan kepada berikut:

i. Dalam negara Islam.
ii. Dalam negara non-muslim.
iii. Hilang dalam peperangan sesama muslim.
iv. Hilang dalam peperangan melibatkan muslim dengan non-muslim (kafir Harbi).

Hilang dalam negara Islam: Diberikan tempoh sehingga empat tahun untuk proses pencarian. Setelah melepasi tempoh tersebut, barulah si isteri dibenarkan untuk beriddah. ( PENDAPAT INI JUGA ADALAH SELARI DENGAN QAUL QADIM MAZHAB SYAFEI)

Hilang dalam negara non-muslim seperti menjadi tawanan atau tahanan: Pasangan suami isteri tersebut kekal sehingga akhir hayat (ta’mir) kebiasaan manusia iaitu 70 tahun (menurut pendapat yang paling rajih).

Hilang dalam pertempuran sesama muslim: Isteri boleh beriddah selepas pertempuran kembali reda.

Hilang dalam peperangan antara muslim dengan non-muslim: Diberikan tempoh setahun selepas selesai proses pencarian. Kemudian barulah si isteri boleh beriddah.

Pendapat lain:
Bagi isteri yang kehilangan suami di negara non-muslim, maka kekal berada dalam tempoh menunggu berdasarkan kepada (ta’mir) iaitu cukup usia suaminya 70 tahun dengan syarat nafkah diberikan kepadanya, dan sekiranya nafkah tidak diberikan maka dia berhak meminta talak.

KESIMPULAN

Setelah diteliti akan perbahasan dan pendapat para ulama berkaitan permasalahan mafqud, maka terdapat beberapa kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan kepada kaedah-kaedah berikut;

1. Kaedah syarak yang umum ( القواعد الشرعية العامة ) 

i. Antara kaedah yang boleh digunakan dalam masalah ini ialah ( لا ضرر ولا ضرار ) , iaitu menghilangkan kemudaratan dan kesukaran bagi si isteri kerana ia merupakan satu perkara yang diakui oleh syarak.

ii. Kehilangan suami mampu mengundang pelbagai fitnah kepada si isteri. Maka menjadi suatu kebaikan untuk memisahkan hubungan pernikahan antara mereka selepas berakhirnya tempoh tertentu dan isteri dibenarkan untuk berkahwin dengan lelaki lain.

iii. Antara kaedah lain yang turut diguna pakai merujuk kepada firman Allah S.W.T: 

يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر

Mafhunya: "Allah Mengkehendaki bagi kamu kemudahan, dan tidak Mengkehendaki bagi kamu akan kesusahan." 

Berdasarkan ayat tersebut, dapatlah difahami bahawa Allah S.W.T memberi keringanan kepada si isteri dengan menghukumkan perpisahan antara keduanya dan memberikan peluang kepadanya untuk memulakan kehidupan yang baru.

iv. Berdasarkan kepada dua kaedah ini, maka jalan terbaik bagi isteri yang kehilangan suami adalah dengan membenarkannya untuk berkahwin lain setelah memenuhi syarat sebagaimana yang telah disenaraikan sebelum ini.

2. Maqasid (tujuan-tujuan) umum bagi syariat Islam ( المقاصد العامة للشريعة الإسلامية ) 

i. Antara maqasid syariat Islam ialah menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Tindakan menghalang wanita atau isteri yang berkemampuan mampu menjerumus ke arah kecacatan agama bagi dirinya.

ii. Wanita yang hidup tanpa suami di sisi lebih mudah terdedah kepada fitnah yang mampu menghasutnya untuk meleraikan ikatan pernikahan disebabkan oleh kehilangan suami dan bertujuan untuk mengelakkan dirinya daripada sebarang kemudaratan yang lain.

3. Solusi siasah syar’iyyah ( السياسة الشرعية فى المسألة ) 

i. Siasah syar’iyyah yang mengatur hal ehwal kehidupan manusia merupakan antara tanggungjawab besar yang terpundak di atas bahu pemerintah bertepatan dengan kehendak syarak.

ii. Tidak semua masalah yang dihadapi dan ditanggung oleh pemimpin termaktub secara langsung di dalam al-Quran dan as-Sunnah secara terperinci. Maka seorang pemimpin mestilah bijak mengeluarkan hukum ataupun berijtihad dalam perkara-perkara baru agar selari dengan maqasid umum yang digariskan oleh syariat Islam.

RESOLUSI BERKENAAN KEHILANGAN PESAWAT MAS MH370

1. Pihak kerajaan mestilah berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha untuk menjejaki pesawat tersebut dengan memanfaatkan seluruh bantuan dan kekuatan teknologi moden bersama negara-negara luar.

2. Pengumuman untuk solat ghaib terhadap mangsa yang hilang tidak sepatutnya dihebahkan terlalu awal selagimana tiada sebarang bukti kukuh yang membuktikan bahawa seluruh penumpang terkorban sama ada melalui penemuan bangkai pesawat mahupun mangsa nahas secara langsung.

3. Pihak kerajaan sepatutnya menunggu dan menggunakan masa yang sesuai sebelum mengumumkan status terkini penumpang, dengan mengambil kira tempoh menunggu bertepatan dengan pandangan serta perbahasan para fuqaha mengenainya.

4. Kaum wanita (isteri) merupakan antara individu yang paling terkesan dalam tragedi seumpama ini. Oleh itu, penetapan hukum berkaitan dengan kesahtarafan hubungan pernikahan antara suami dan isteri perlulah diteliti agar tidak menimbulkan sebarang masalah yang besar pada masa akan datang melibatkan masa depan golongan wanita tersebut.

5. Pihak keluarga disarankan tidak terburu-buru dalam mengagihkaan pembahagian harta golongan mafqud tersebut kecuali selepas benar-benar disabitkan kematian mereka ataupun selepas berlalunya tempoh masa tertentu yang munasabah dan setelah diputuskan oleh qadi yang terlibat.

Disediakan oleh: 
Abdul Aziz Bin Ali
Ketua Felo MANHAL PMRAM 2014

RUJUKAN :
1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sahih Bukhari dan Muslim. 
3. Fiqhu Al-Islam wa Adillatuhu, Dr.Wahbah Az-Zuhaili.
4. Al-Muhzib fi Fiqhi Al-Imam As-Syafie.
5. Syarhu Fathu Al-Qadir.
6. Raudhu At-thalibin.
7. Mukjam Al-Wasith.
8. Al-mawaris.

0 comments:

Post a Comment

SAHABAT SEPERJUANGAN