Home » , » TUNTUTAN MENUTUP AURAT ADALAH PERINTAH ALLAH SWT

TUNTUTAN MENUTUP AURAT ADALAH PERINTAH ALLAH SWT

Written By Teratak Al-Fateh Training & Consultancy on Monday, October 10, 2011 | Monday, October 10, 2011


Allah SWT telah mewajibkan lelaki mahu pun perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan cara-cara menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah SWT. Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu keengkaran dan kederhakaan.

Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan. Ancaman dan balasan Allah SWT terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak memperdulikan tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah SWT. Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka.

Oleh itu, kita hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat sebagaimana yang disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah SWT, bukannya kerana tuntutan fesyen semasa atau kesesuaian tempat dan keadaan. Jika berfesyen pun fesyen yang dikenakan hendaklah memenuhi tuntutan syara'

Setiap Muslim perlu mengetahui batasan auratnya. Seorang wanita wajib mengetahui batasan auratnya. Sejak dibangku sekolah lagi ustaz dan ustazah telah mengajar mereka batasan auratnya, malahan di dalam silibus pembelajaran sekolah rendah dan sekolah menengah juga menjelaskan demikian. 

Malahan ibu bapa juga mengajar mereka had aurat. Namun, apabila dewasa, ada di kalangan wanita yang melihat kefarduan menutup aurat ini sebagai satu budaya orang Melayu dan bukan persoalan agama. Tanggungjawab dan peranan mendidik berpindah ke tangan suami apabila seseorang perempuan itu dikahwini oleh seorang lelaki. 

Berdasarkan kepada tanggungjawab dan peranan suami jelas bahawa suami adalah pengemudi bahtera rumahtangga terutamanya dalam mendidik keluarga. Suami wajib menasihati isterinya dengan penuh bijaksana dan berhemah supaya isteri boleh menerima perintah menutup aurat dengan rela hati tunduk dan patuh pada perintah Allah. 

Rasulullah SAW ada berpesan agar setiap wanita itu dididik dan ditegur dengan penuh kelembutan dan berdedikasi. Nabi SAW mengingatkan kita agar mereka tidak dibiarkan dengan kesilapan dan keingkaran kerana yang demikian akan membawa padah pada si-isteri. 

Setelah dinasihat dan diajar serta ditegur, sekiranya isteri masih lagi enggan menutup aurat maka suaminya tidak akan berdosa. Ini kerana suami sudah berusaha menyedarkan akan perintah Allah supaya menutup aurat, tetapi masih ingkar. Maka dosa keengganannya menurut perintah Allah akan ditanggung sendiri dan bukannya suami. 

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang Lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang Perempuan, atau Perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.

(Surah an-Nur Ayat 31). 

Dalam ayat tersebut telah jelas bahawa Allah SWTmemerintahkan kaum perempuan menutup aurat dan perintah ini adalah wajib. Maksudnya wajib bagi wanita Islam yang beriman menutup auratnya. Had aurat wanita ialah seluruh tubuhnya melainkan kedua telapak tangan dan wajah mereka.


MENUTUP AURAT NIKMAT ANUGERAH ALLAH SWT

Allah SWT telah menurunkan bahan-bahan pakaian di muka bumi dan memberikan manusia keupayaan menghasilkan pakaian sebagaimana yang ditegaskan melalui firmanNya yang bermaksud:
“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”.

(Surah al-A‘raaf Ayat 26)
Ayat tersebut menjelaskan bahawa bahan pakaian yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya itu sebagai tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya untuk menutup aurat mereka. Maka mereka yang mengabaikan kewajipan ini dengan mendedahkan aurat mereka adalah orang-orang yang tidak bersyukur dan tidak menghargai nikmat tersebut.

Banyak kebaikan dan faedah yang boleh didapat daripada kewajipan menutup aurat ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu melainkan untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri. Tuntutan menutup aurat ke atas wanita adalah untuk kebaikan bagi diri kaum wanita juga.
Di antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus bagi wanita sepertimana yang dijelaskan dalam Al-Qur'an ialah untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan berpakaian sedemikian, maka mereka tidak akan diganggu. Secara tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari fitnah, pandangan yang jahat atau berlakunya perkara yang buruk, umpamanya kes rogol dan sebagai-sebagainya.
Oleh itu, kewajipan menutup aurat juga merupakan satu nikmat yang wajib disyukuri oleh kita semua, iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan yang dikehendaki ini.

0 comments:

Post a Comment

SAHABAT SEPERJUANGAN