Home » » UJUB & RIAK MEMBAWA KEBINASAAN

UJUB & RIAK MEMBAWA KEBINASAAN

Written By Lisanul Hakim (Ahmad Shafiq Ismail) on Thursday, February 10, 2011 | Thursday, February 10, 2011

MUKADDIMAH
Kita biasa melihat segolongan manusia itu (golongan pertama) berlumba-lumba melakukan kebajikan dan amal soleh, dari ibadah yang wajib sehinggalah kepada yang sunat. Dan tak kurang pula segolongan lagi manusia itu (golongan kedua) yang langsung tidak mahu beramal, bersolat yang wajib dan lain-lain ibadat sunat.

Apa yang merisaukan kita adalah kepada golongan yang pertama iaitu golongan yang kuat beramal soleh dan berilmu. Kalau yang tidak beramal soleh itu kita semua sedia maklum kemanakah kembalinya mereka itu nanti di akhirat. TETAPI mengapa pula kita perlu risau terhadap orang yang berilmu dan kuat pula beramal soleh itu? Pelik kan? Jangan pelik Muslimin dan Muslimat. Teruskan pengajian anda dengan  membaca apa yang cuba saya sampaikan di nota ini.

Kita risau dan bimbang kepada mereka yang kuat beramal soleh jika wujud sifat UJUB (rasa bangga) dan RIAK (rasa bermegah-megah) dalam ibadat dan amal soleh mereka. Kita mengharapkan sepatutnya mereka yang beramal soleh dan berilmu inilah seharusnya menghuni syurga Allah TETAPI Allah berfirman dan mengingatkan bahawa DIA akan memenuhkan Neraka WIL (yakni neraka terbawah sekali) dengan orang yang pada zahirnya berilmu dan kuat beramal soleh tetapi hatinya wujud sifat ujub dan Riak. MasyaAllah Muslimin dan Muslimat semua.

ANTARA PUNCA ALLAH BERFIRMAN SEDEMIKIAN adalah kerana orang yang beramal dan kemudian mereka itu merasa seronok selepas beramal atau merasa cukup dengan amalannya, kononnya mereka 'PASTI' terselamat dari azab api neraka itu boleh membawa kepada sifat Mazmunah yakni UJUB dan RIAK itu tadi. Ujub dan riak bukan sahaja tertumpu kepada manusia sahaja tetapi yang paling bahaya adalah apabila wujud sifat ujub dan riak kita kepada Allah. Nauzubillah Muslimin dan Muslimat yang saya kasihi.

Apakah dengan itu bermakna kita ini TIDAK PERLU pula beramal dan lebih baik kita jadi seperti mereka yang tidak beramal (golongan kedua) itu tadi? Bukan...bukan begitu...jangan menyalah tafsirkan peringatan ini OK. Rasulullah Saw ada bersabda supaya kita ini menyampaikan apa yang telah kita pelajari dan apa yang kita tahu tentang kebaikan dan kelebihan amal kepada manusia lain walaupun satu dari ayat-Nya.

UJUB & RIAK
Contohnya: Seorang itu bangun solat Tahajud di malam hari dan kemudian dalam hatinya merasa seronok dan bangga selepas dia bersolat, itu adalah tanda-tanda kewujudan sifat ujub dan riak kepada Allah. Dia yang beramal itu menyangka apa yang dilakukannya (walaupun dia merahsiakannya dari manusia) akan menyelamatkan dirinya dari azab api neraka sedangkan manusia yang soleh itu sebenarnya memenuhi syurga Allah hanya kerana RAHMAT dari ALLAH dan bukan apa yang diusahakannya untuk merasa selamat itu. FAHAM? Atau masih kabur? Ok, saya perjelaskan lagi supaya bertambah kefahaman tentangnya. InsyaAllah.

Baiklah, cuba kita renungkan apa yang akan berlaku di akhirat apabila kita berhadapan dengan  Allah Azzawajala nanti. Yang dinilai oleh Allah adalah HATIMU, yang dikurniakan Allah dengan kebaikan dunia dan akhirat itu juga adalah kerana HATIMU. Jika hatimu itu beramal dan menuntut ilmu untuk mendapat keredhaan Allah dan kemudian menyerahkan segala persoalan samada Allah terima atau tidak amalan kita kepada Allah dengan ucapan InsyaAllah, barulah kita ini dinilai tinggi oleh Allah Azzawajala dalam nilai ibadah kita. Bukan amalan yang membukit tetapi tidak ada TAWAKAL, BESERAH kepada Allah dan INSYAALLAH itu tadi. Jadi dimanakah kebanggaan (ujub) dan rasa riak kita itu tadi kerana kononnya kita ini telah beramal begitu banyak? NAMPAK? Atau masih kabur? Baiklah, mari kita teruskan berhujah...

Apabila sampai kita dihadapan Allah Azzawajala di muka pengadilan nanti, maka Allah akan memperlihatkan segala amalan yang telah kita perbuat di dunia. WAH!!! BANYAKNYA AMALAN KITA diperlihatkan Allah, hebatnya kita! Kemudian Allah mencabut sebutir mata anda dan menimbangkan nikmat yang pernah dikurniakan Allah disebabkan penglihatan hanya sebelah sahaja dari mata anda. Anda terus terpaku dan menangis kerana TERNYATA nikmat melihat dengan hanya sebelah mata itu sahaja telah menewaskan timbangan amal soleh yang membukit yang pernah anda usahakan dahulu. Dimanakah kehebatan amalanmu semasa hidup dulu? Apakah yang anda bangga-banggakan dan bermegah dengannya selama ini? Anda pasti akan menangis di hadapan Allah kerananya. Percayalah Muslimin dan Muslimat semua.

Yang menyelamatkan kita dari api neraka sebenarnya adalah RAHMAT ALLAH. Kalau nak diikutkan apa sangatlah amalan yang mampu kita lakukan setelah mengerjakan semua yang WAJIB dan kemudian melakukan pula ibadah-ibadah yang sunat, walaupun kita telah berdiri sepertiga malam pada tiap-tiap malam tanpa ada satu haripun terlepas sehingga saat kematian kita, jika TIDAK kita ini BESERAH segalanya kepada Allah samada mahu menerima atau tidak amalan kita. Maka tidak adalah maknanya amalan kita yang banyak membukit  itu Wahai Muslimin dan Muslimat.

Saya bukannya cuba membuka ruang untuk anda menghentam dan mengutuk mereka yang berilmu, beriman dan beramal soleh TETAPI ia satu peringatan yang wajib kita sampaikan. Bayangkan, orang yang beramal soleh itu pun belum tentu selamat di akhirat, apalagi mereka yang langsung lalai dengan kehidupan dunia ini. Kita HARUS membetulkan niat dan tasdiq dalam hati kita dengan mengucapkan InsyaAllah dan hanya berharap agar Allah menerima semua amalan kita.

SIAPAKAH di antara kita ini berani menyatakan bahawa amalannya diterima Allah? Ada yang berani? Kita, manusia ini hanya mampu melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya TETAPI tiada siapa yang tahu atau mampu menentukan samada amalannya itu telah diterima atau tidak oleh Allah Azzawajala. So, janganlah kita nak berlagak sangat 'kononnya' kita ini hebat dan berilmu, lebih pandai dari yang lain, kita sahaja yang betul dan benar dan kita inilah bakal ahli syurga. Dengan menghentam diri kita seperti itu sahajalah akan terbit dan wujudnya sifat merendah diri dan dengan merendah diri itu sahajalah akan berlaku perubahan kepada HATI KITA dari sifat ujub dan riak. Kita wajar sentiasa bersangka baik kepada semua manusia selagi mereka itu tidak melakukan perbuatan KEJI yang terang-terangan dan dapat dilihat mata kepala kita.

IBADAH SOLAT
Muslimin dan Muslimat yang saya kasihi, ibadah solat itu adalah ibadah untuk diri kita sendiri, dan ia bukanlah untuk menambah kuasa Allah atau untuk orang lain. Allah tidak heran sama sekali jika anda langsung tidak mahu sujud kepada-Nya. Sujud atau tidak kita kepada-Nya tidak sedikitpun memberi bekas kepada Allah Yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa. Kita bersolat untuk kebaikan diri sendiri selain mentasdiqkan(menetapkan dalam hati) bahawa ia dilakukan hanya kerana Allah, dan bukan kerana ulama, ustaz, mak ayah kita atau makhluk-Nya yang lain. Kita WAJIB mengerjakan solat hanya kerana Allah Taala. Ingat! Hanya kerana Allah Taala...LILLAHITAALA!!!

Allah berfirman Surah Al-Ankabut: Ayat 45 - Bacalah kitab (Al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan laksanakanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) mengingat ALLAH (dalam solat) itu lebih besar (keutamaannya dari ibadah yang lain). ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Jika kita membaca ayat dari firman Allah di atas, JELAS bahawa solat yang DITERIMA Allah akan pasti merubah pengamalnya dari biasa melakukan kemungkaran (perkara larangan Allah) kepada yang lebih baik yakni meniggalkan segala larangan-Nya. Jika kita tidak berubah dan masih terus bergelumang dengan dosa, kemungkaran dan tidak pula kita terpanggil menutup aurat, bermakna solat kita itu berkemungkinan TIDAK DITERIMA oleh Allah.

Kerana itu saya katakan bahawa solat itu adalah untuk diri kita sendiri. Apabila kita bersolat dengan khusyuk dan menyerahkan segalanya kepada Allah soal diterima atau tidaknya amalan solat kita itu, dan kemudian dengan solat itu pula MAMPU merubah gaya hidup kita kepada kebaikan serta dengan sendirinya kita meninggalkan segala larangan-Nya seperti minum arak, berfoya-foya dengan perkara lagha (tak berfaedah), taat kepada ibu bapa dan lain-lain lagi kebaikan bermakna kita telah berjaya menikmati kebenaran dari firman Allah dalam ayat di atas. InsyaAllah.

KESIMPULANNYA
Marilah kita Muslimin dan Muslimat menghindar diri dari sifat Ujub (membanggakan diri) dan Riak (bermegah-megah kononnya kitalah yang paling hebat dan berilmu) yang hanya dilihat banyak membawa kebinasaan kepada diri kita sendiri. Marilah kita perbetulkan niat amalan dan menuntut ilmu kita kepada HANYA KERANA ALLAH (Lillahitaala) dan kemudiannya kita beserah segalanya kepada Allah. Biarlah Allah yang menentukan samada amalan kita itu diterima atau tidak oleh-Nya. Kita hanya mampu berdoa dan berharap agar Allah menerimanya. InsyaAllah.

0 comments:

Post a Comment

BLOG INI BERMANFAAT ? LIKE PAGE KAMI !

SAHABAT SEPERJUANGAN