Home » » Matlamat tak tercapai

Matlamat tak tercapai

Written By Lisanul Hakim (Ahmad Shafiq Ismail) on Friday, March 25, 2011 | Friday, March 25, 2011

TRIPOLI: Pesawat udara Bersekutu terus mengebom Libya untuk malam kelima semalam, tetapi setakat ini kempen berkenaan gagal menghalang kereta kebal Muammar Gaddafi daripada menyerang kubu pemberontak di Misrata.

Tentera yang setia kepada pemimpin Libya itu dilaporkan bergerak dalam kegelapan malam menuju Misrata sebelum menghujani kawasan berhampiran hospital utama di bandar berkenaan dengan bom.

Saksi berkata, serangan itu dilakukan selepas ia terhenti beberapa jam pada waktu siang ekoran serangan tentera Bersekutu.
Katanya, tentera kerajaan mengambil kedudukan strategik untuk meneruskan serangan ke arah pemberontak.

Jurucakap pemberontak berkata, penembak tepat kerajaan masih berada di Misrata dan tidak terjejas dengan serangan udara sebelum ini.

“Setakat ini 16 orang terbunuh di tangan penembak tepat yang bertindak semberono,” katanya.

Bagaimanapun, kesahihan semua dakwaan itu tidak dapat dibuktikan. Sementara itu, satu letupan kuat kedengaran berhampiran Tripoli semalam dan asap dapat dilihat naik ke udara dari kawasan dipercayai pangkalan tentera Gaddafi.

Pegawai kerajaan kemudian membawa wakil media melihat 18 mayat rentung, didakwa anggota tentera dan orang awam yang terkena bom pihak Bersekutu.

Pegawai tentera AS pula mendakwa serangan itu berjaya mewujudkan zon larangan terbang di kawasan pantai Libya dan kini sasaran mereka adalah kereta kebal rejim Gaddafi. Katanya, pasukan Bersekutu mengadakan 175 penerbangan dalam tempoh 24 jam dan 113 daripadanya dibuat tentera udara AS.

Pegawai Britain pula berkata, tentera negara itu melancarkan peluru berpandu Tomahawk dari kapal selam Trafalgar ke kelengkapan pertahanan udara Libya.

Menteri Pertahanan Perancis, Gerard Longuet, berkata tentera negara itu memusnahkan kira-kira 10 kereta perisai Libya dalam tempoh tiga hari.

0 comments:

Post a Comment

SAHABAT SEPERJUANGAN