Home » » Kebenjatan Akhlak Artis Masa Kini

Kebenjatan Akhlak Artis Masa Kini

Written By Teratak Al-Fateh Training & Consultancy on Sunday, July 03, 2011 | Sunday, July 03, 2011


Mula-mula terpeluk. Kemudian, tercium pula. Itupun belum lagi kehidupan di belakang lensa kamera. Entah apa jenis maksiat pula yang artis kita lakukan. Inilah rona-rona kehidupan artis yang tidak mengikut ketetapan-ketetapan Allah. Rona-rona ini bukanlah suatu masalah bagi mereka. Malah, sukar sekali untuk kita temui artis yang tidak bergelumang dengan maksiat.

Apa yang menyedihkan para pencinta Islam, golongan artis adalah ikon bagi masyarakat. Masyarakat hari ini bagaikan tidak kenal siapa ikon atau role model mereka yang sebenar iaitu junjungan agung Nabi Muhammad SAW. Mereka lebih suka untuk mengikut arus perkembangan semasa berbanding menteladani Nabi SAW!

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) [al-Ahzaab:21]

Lebih mendukacitakan, kebanyakan artis masa kini adalah golongan yang bejat akhlaknya, lemah keperibadiannya, dan berhibur tidak mengikut hukum syarak. Maka, apa yang dilakukan oleh artis, itulah yang ditiru oleh masyarakat hari ini terutamanya golongan remaja. Oleh yang demikian, masyarakat yang menjadi peniru artis ini juga turut terjerumus dalam lembah kehinaan hedonisme.

Perkara ini berlaku sudah tentu kerana masyarakat hari ini telah kehilangan ubat yang paling mujarab, iaitu sistem kehidupan yang telah ditentukan oleh Yang Maha Pencipta. Apabila ketetapan Ilahi tidak dituruti, artis semakin rosak dan penyakit ini berjangkit kepada masyarakat yang meniru perbuatan mereka.

Perbuatan artis yang terang-terang melanggar hukum syarak di khalayak ramai seperti bersentuhan sesama lelaki dan perempuan, mendedahkan aurat, menghina isteri Nabi SAW, bergaul bebas, dan sebagainya langsung tidak dikenakan uqubat (hukuman) seperti yang ditetapkan oleh Allah SWT. Sebaliknya, paling tidak pun mereka digam, didenda, dan dikenakan tindakan daripada hukum-hakam sekular sahaja, di mana tindakan-tindakan ini langsung tidak memberikan keinsafan kepada golongan artis dan masyarakat.

Justeru, Daulah Khilafah adalah ubat bagi penyakit yang kian membarah ini. Ini adalah kerana, Khilafah-lah yang akan mengenakan uqubat kepada pesalah-pesalah yang memberikan kesan seperti keinsafan dan pencegahan. Tanpa Khilafah, tidak mungkin sistem uqubat dapat dijalankan, kerana pemerintah sekular hari ini sememangnya rela mengangkat hukum-hakam penjajah kufur dan membenci hukum-hakam Allah SWT. Dan Khilafah-lah satu-satunya institusi politik yang akan menerapkan Islam secara 100%


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [al-Baqarah:208]


Jadi, apakah yang kita harapkan lagi daripada sistem yang sedia ada? Adakah kita mahu kaum muslimin terutamanya ahli keluarga kita menjadi rosak seperti kebanyakan artis kita disebabkan oleh penerapan sistem kufur? Atau mengharap 'transformasi', bak kata Pak Najib? Tiada apa lagi yang boleh diharap daripada mereka, kerana janji manis sudah terlalu banyak kali ditabur, namun manisnya hanya itu menyebarkan penyakit di kalangan ummat!

0 comments:

Post a Comment

SAHABAT SEPERJUANGAN