Home » , , » MANHAL PMRAM : Hukum Demonstrasi

MANHAL PMRAM : Hukum Demonstrasi

Written By Teratak Al-Fateh Training & Consultancy on Saturday, April 28, 2012 | Saturday, April 28, 2012

Definisi
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4, demonstrasi memberikan maksud :

- tunjuk perasaan dgn cara berkumpul beramai-ramai, berarak, dan seumpamanya
- menunjukkan serta menerangkan cara menggunakan sesuatu (spt mesin, alat solek, dll) atau cara-cara melaku­kan sesuatu
*rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4 atau Pusat Rujukan Persuratan Melayu

Bentuk Demonstrasi

Demonstrasi sebagaimana yang telah dinyatakan menurut definisi Kamus Dewan dan Pustaka, jelas ia merupakan konsep atau wasilah dalam menyampaikan sesuatu perkara. Disebabkan itu antara konsep dalam demonstrasi ialah mengadakan himpunan samada menyatakan sokongan atau bantahan, perarakan, rapat umum dan apa jua aktiviti yang melibatkan perhimpunan masyarakat yang ramai. Dan inilah definisi yang mahu diperbincangkan di dalam artikel ini.

Adapun begitu, maka hukum bagi demonstrasi adalah mengikut kepada tujuan dan wasilah yang digunakannya. Hal ini demikian kerana demonstrasi bukanlah tujuan utama, namun ia merupakan sebagai wasilah atau cara dalam menunjukkan sesuatu tujuan.

Justeru, dalam membincangkan hukum demonstrasi kita lihat kepada jenis-jenis demonstrasi iaitu :

1- menunjukkan kekuatan Islam dan umat yang bersatu
2- mencegah kemungkaran dan kezaliman serta menyeru ke arah perkara makruf
3- menggunakan cara yang tidak bertentangan dengan syara’ (tidak mengangkat senjata dan mendatangkan mudharat kepada masyarakat) dan sebagai pemberitahuan secara besar-besaran (menuntut hak yang tidak diperolehi)
4- menggulingkan pemerintah Islam yang adil
5- mengangkat senjata (bertentangan dengan syara’)

*kitab Fusul Min Siyasah Syar’iyah Fi Ad-Dakwah Ila Allah karangan Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq

Demonstrasi Yang Diharamkan Oleh Syara’

Merujuk kepada jenis-jenis demonstrasi, maka para ulama sepakat bahawa demonstrasi yang berbentuk untuk menggulingkan pemerintah yang adil dengan menggunakan cara yang tidak syari’e iatu menggunakan senjata dan kekerasan, hukumnya adalah haram.
Hal ini berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :

1- Wajib mentaati pemerintah

Maksud firman Allah dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-59 :

“Wahai orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah rasul serta pemimpin di kalangan kamu.”

- Berkenaan ayat di atas Imam At-Tabari menyifatkan ulul amri dalam ayat di atas ialah ketua atau pemimpin berdasarkan hadis Nabi SAW yang menyuruh mentaati pemerintah selagimana di atas landasan yang benar.

- Imam Ibnu Kathir mentafsirkan kalimah ulul amri adalah merujuk kepada pemerintah dan ulama.

Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda :

مَنْ أَطاعَنِي فَقَدْ أَطاعَ اللهَ, وَمَنْ عَصانِي فَقَدْ عَصَى اللهَ, وَمَنْ أَطاعَ أَمِيْرِي فَقَدْ أَطاعَنِي, وَمَنْ عَصَى أَمِيْرِي فَقَدْ عَصانِي

“Sesiapa yang mentaati aku, sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai aku maka sesungguhnya dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah (yang berhukum mengikut manhaj) ku maka dia telah mentaatiku, maka sesiapa yang menderhakai pemerintah (tersebut) maka dia telah menderhakaiku.” – Bukhari (7137) dan Muslim (1835)

Abdullah ibnu Umar berkata, Nabi SAW bersabda :

السَمْعُ والطاعَةُ عَلى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيْما أَحِبَّ وَكَرِهَ, مَالَمْ يُؤْمَر بِمَعْصِيَة فَإذا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَةَ

“Taat dan patu kepada seseorang muslim (pemerintah) pada setiap perkara samada suka atau benci selagimana tidak disuruh melakukan maksiat, maka apabila disuruh melakukan maksiat maka tidak wajib (bahkan haram) untuk taat dan patuh.” – Bukhari (7144) dan Muslim (1839)

Imam An-Nawawi menyebutkan di dalam kitab Syarah Muslim bahawa ijma’ bahawa wajib mentaati pemerintah dalam konteks bukan maksiat dan begitu juga haram mentaati pemerintah dalam konteks maksiat.

2- Haram memudharatkan ke atas manusia

Apabila demonstrasi yang dirancang dengan menggunakan kekerasan dan senjata samada untuk membunuh atau menyeksa, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :

1- Ayat Al-Quran dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-93 yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja,maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal ia di dalamnya (tempoh yang panjang) dan Allah murka kepadanya.”

2- Ayat Al-Quran dalam Surah Al-An’am pada ayat ke-151 yang bermaksud :

“Dan jangan kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (untuk membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (dibenarkan oleh syara’)”

3- Ibnu Umar meriwayatkan, sabda Nabi SAW ketika Haji Wada’ :

أيُّها الناس! إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

“Wahai manusia! Sesungguhnya darah kamu dan harta benda kamu ke atas kamu adalah haram (terjaga) sebagaimana ia telah diharamkan (suci dan terjaga penghormatan) seperti sucinya hari kamu pada hari ini, bulan ini dan negara (Tanah Mekah) ini.” - Bukhari

4- Nabi SAW melarang manusia daripada melakukan 7 perkara yang mendatangkan dosa besar iaitu melalui sabda baginda SAW :

الشِرْكُ بِالله، وَالسِحْر، وقَتْلُ النَفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إلِّا بالحَقّ، وأَكْلُ الرِبا، وأَكْلُ مالِ اليَتِيم، والتَوَلّي يَوْمَ الزَحَف، وقَذْفُ المُحْصَنات الغافِلات المُؤْمِنات

“Syirik keada Allah,sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada medan perang dan menuduh zina wanita Islam yang baik.” – Bukhari dan Muslim

5- Kaedah “لا ضَرَرَ وَلا ضِرَار” berdasarkan kepada hadis Nabi SAW. Maka jelas Islam menolak sebarang mudharat iaitu dalam hadis Nabi SAW disebutkan tidak ada (haram melakukan) perkara memudharatkan (diri sendiri atau orang lain) dan tidak ada (haram melakukan) tindak balas memudharatkan (terhadap mudharat yang diterima). Hal ini bertepatan dengan maqasid syariah yang dijaga oleh Islam iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Sebarang mudharat ke atas 5 perkara ini adalah diharamkan oleh Islam.

Kesimpulannya, berdasarkan kepada dalil-dalil yang dibentangkan di atas maka para ulama sepakat bahawa demonstrasi yang tidak dibenarkan oleh syara’ ialah tunjuk perasaan yang mengangkat senjata kerana ia akan memudharatkan masyarakat awam apatah lagi jika membunuhnya dengan sengaja. Begitu juga demonstrasi bagi menggulingkan pemerintah yang adil dan memegang dasar pemerintahan Islam, maka hukumnya adalah haram.

Demonstrasi Yang Diharuskan Oleh Syara’

Sehubungan itu, bentuk demonstrasi selain yang disebutkan di atas iaitu berniat menggulingkan pemerintah Islam, pemerintahan yang adil serta mengangkat senjata, maka ia adalah harus sekiranya tujuan dan cara adalah tidak bertentangan dengan syara’.

Maka demonstrasi yang berbentuk menuntut hak, menunjukkan kekuatan Islam dan kesatuan rakyat dalam berhadapan dengan pemerintahan yang zalim yang melakukan kemungkaran adalah diharuskan.

Hal ini berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :

1- Hukum asal bagi sesuatu perkara (selain dalam konteks ibadah) adalah harus. Kaedah “أن الأصل في الأشياء الإباحة”

Demonstrasi adalah dalam konteks urusan dunia, tidak termasuk dalam konteks ibadah, maka hukum asal bagi konteks urusan dunia adalah harus dan terpulang kepada kebijaksanaan manusia dalam menguruskan wasilah yang pelbagai dan sesuai dengan zaman mereka selagimana tidak bertentangan dengan nas-nas yang mengharamkan sesuatu perkara.

Hal ini demikian kerana demonstrasi adalah wasilah kepada sesuatu tujuan yang ingin disampaikan. Maka sekiranya tujuan untuk menuntut hak yang dirampas dan keadilan yang sebanar dengan wasilah demonstrasi secara aman tanpa merancang menimbulkan huru-hara maka ia adalah diharuskan.

Islam memerintahkan umatnya mencegah kemungkaran dan menetang kezaliman. Adapun cara atau wasilahnya berdasarkan kesesuaian tempat, masa dan pihak yang membawa kebenaran. Maka konteks hikmah dan peringatan yang baik adalah berdasarkan kepada kesesuaian realiti dan peringkat serta kemampuan. Maka kita dapat lihat bagaimana setiap zaman para rasul adalah berbeza pendekatan yang dilakukan. Contohnya, Nabi Ibrahim berhujah dengan Namrud, Nabi Musa menggunakan mukjizat dalam berhadapan dengan ahli sihir, Ratu Balqis tertawan dengan pemerintahan yang adil yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman bahkan di zaman Nabi Muhamad SAW terdapat banyak peperangan.

2- Dr Yusuf Al-Qardhawi menerangkan 3 cara apabila berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan jelas melakukan kemungkaran, bahkan apabila mencegah sekiranya diam atau rahsia masih tidak berjaya, maka wajib ke atas umat Islam apabila mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk mencegahnya melalui :
-undian pilihanraya
- kuasa tentera
-kuasa rajyat
Dalam konteks kuasa rakyat adalah termasuk sekali dengan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan bahawa rakyat tidak bersetuju dengan kemungkaran yang dilakukan oleh pihak pemerintah. – rujuk kitab Fiqh Ad-Daulah, karangan Dr Yusuf Al-Qardhawi dan artikel MANHAL PMRAM di http://www.manhal.pmram.org/2012/04/kewajipan-membebaskan-penjajahan-ke.html

Perbahasan ini adalah merujuk kepada perbahasan mencegah kemungkaran melalui 3 peringkat yang disuruh oleh Nabi SAW dalam sabdanya :

مَنْ رَأَى مِنْكُم مُنْكرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِه، فَإِنْ لَم يَسْتَطِعْ فَبِلِسانِه، فَإن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِه، وذلك أَضْعَفُ الإِيْمان
“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran,maka wajib mengubahnya dengan menggunakan tangan (kuasa), maka sesiapa yang tidak mampu, maka dengan lisan, sekiranya tidak mampu juga maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”– Muslim

Dan juga Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas RA :

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

“Bantulah saudara kamu yang zalim dan yang dizalimi. Maka bertanya sahabat : Wahai Rasulullah SAW, aku mengetahui bahawa untuk membantu orang yang dizalimi maka bagaimana cara untuk membantu orang yang zalim? Maka jawab Nabi SAW : menghalangnya atau mencegahnya daripada berterusan melakukan kezaliman maka demikian kamu telah membantunya.” – Bukhari (6438)

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- يَشْكُو جَارَهُ فَقَالَ « اذْهَبْ فَاصْبِرْ ». فَأَتَاهُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا فَقَالَ « اذْهَبْ فَاطْرَحْ مَتَاعَكَ فِى الطَّرِيقِ ». فَطَرَحَ مَتَاعَهُ فِى الطَّرِيقِ فَجَعَلَ النَّاسُ يَسْأَلُونَهُ فَيُخْبِرُهُمْ خَبَرَهُ فَجَعَلَ النَّاسُ يَلْعَنُونَهُ فَعَلَ اللَّهُ بِهِ وَفَعَلَ وَفَعَلَ فَجَاءَ إِلَيْهِ جَارُهُ فَقَالَ لَهُ ارْجِعْ لاَ تَرَى مِنِّى شَيْئًا تَكْرَهُهُ

Abu Hurairah meriwayatkan ada seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai jirannya, lalu Baginda SAW berkata “Pulanglah dan bersabarlah”. Situasi itu berlaku 2 ataupun 3 kali lalu kata Baginda SAW “Pulanglah dan buang barangmu di atas jalan”. Lalu setelah lelaki tersebut melakukan sebagaimana yang disarankan, ramai orang bertanya puncanya, lalu lelaki ini menceritakan situasinya. Ini membuatkan semua orang yang lalu di situ mencerca jiran lelaki tersebut. Tidak lama selepas itu, jirannya itu datang dan memohon maaf padanya dan berjanji peristiwa lama tidak berulang lagi.

Berdasarkan kepada hadis di atas, Imam Ibnu Qayyim menyebutkan di dalam kitab beliau I’lam Al-Muwaqqi’in bahawa tidak mengapa bagi seseorang yang dizalimi untuk menceritakan kezaliman yang diterimanya bagi mendapatkan sokongan dan kekuatan dalam mendapatkan kembali hak yang telah dizalimi. Sekiranya dengan perbuatan yang dilakukan tersebut mampu untuk mencegah kezaliman dan cara nasihat yang baik tidak memberikan kesan.

3- Menunjukkan keizzahan dan kekuatan Islam adalah diharuskan. Hal ini dapat dilihat kepada beberapa situasi di zaman Nabi SAW iaitu :

- Ketika penghijrahan sahabat, antara sebab keberjayaan para sahabat keluar berhijrah adalah apabila terdapat sahabat yang gagah dan berani dengan memberikan amaran kepada pihak musyrikin Mekah agar tidak mengganggu penghijrahan para sahabat.Antaranya Saidina Umar Al-Khattab. Hasilnya para sahabat dapat keluar berhijrah beramai-ramai mengikut peringkat-peringkat yang telah disusun.

- Ketika Nabi SAW tiba di Madinah maka penduduk-penduduk Madinah termasuk wanita dan kanak-kanak keluar dengan bergembira berhimpun sambil mengalunkan nasyid menandakan kegembiraan mereka kedatangan Nabi SAW

- Ketika solat sunat Hari Raya, Nabi SAW menggalakkan juga wanita yang haid untuk keluar (tetapi tidak solat dan berada dalam masjid, cuma keluar bersama-sama bagi menyambut Hari Raya) agar menampakkan ramainya umat Islam dalam menyambut perayaan hari kebesaran dalam Islam.
-
- Kisah Bai’ah Ridhwan. Ia apabila Nabi SAW mneghantar utusan untuk berjumpa dengan pembesar Mekah, namun dikhabarkan bahawasanya mereka telah membunuh Saidina ‘Uthman, maka Nabi SAW dan para sahabat telah membuat persepakatan untuk berjuang menuntut bela terhadap ketidakadilan yang berlaku kepada Saidina ‘Uthman.

*antara peristiwa-peristiwa yang menunjukkan para sahabat berhimpun dalam menunjukkan kekuatan Islam dan kesatuan umat Islam. Boleh rujuk kitab sirah-sirah.

Kesimpulan

Hasil pengkajian ringkas di atas mengenai demonstrasi,maka dapat difahami dengan jelas beberapa perkara :

1- Demonstrasi merupakan satu bentuk wasilah bagi sesuatu tujuan. Ia termasuk dalam urusan dunia yang asal pada hukumnya adalah harus.
2- Bentuk-bentuk demonstrasi yang diharamkan ialah menggulingkan pemerintah yang adil, menyerang pemerintahan Islam dan mengangkat senjata bagi melakukan huru hara dan mendatangkan mudharat.
3- Manakala demonstrasi yang berbentuk menyatakan pendirian bagi menuntut hak-hak yang telah dicabuli, mencegah kemungkaran dan menunjukkan keizzahan Islam adalah tidak bertentangan dengan syara’ dan ia diharuskan.
4- Sehubungan itu, penganjur demostrasi mestilah mengingatkan kepada peserta demonstrasi untuk menjaga adab dan tidak melakukan perkara-perkara yang memudharatkan orang awam dan batasan syara’.
5- Sekiranya tujuan dan wasilah yang dirancang adalah baik,namun terdapat beberapa kekacauan selepas demontrasi di luar dugaan, maka ia tidak menjejaskan hukum asal bagi demontrasi tersebut. Hal ini demikian samajuga seperti musafir yang mubah namun di tengah perjalanan berlaku perkara maksiat, maka masih dibolehkan untuk solat jama’ dan qasar. Namun sekiranya niat musafir adalah untuk maksiat, maka ia berbeza dan ulama menyatakan adalah haram untuk solat jama’ dan qasar.

Wallahu a’lam


Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1- Sirah An-Nabawiyyah, oleh Dr Ali As-Solabi, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
2- Al-Halal Wa Al-Haram Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3- Fiqh Ad-Daulah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
4- Dirasah Fi Fiqh Maqasid Al-Syariah, Dr Yusuf Al-Qardhawi,cetakan Maktabah Wahbah
5- Dhawabit Al-Maslahah Fi As-Syariah Al-Islamiyyah, Dr Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr
6- Nail Ar-Raja’ bisyarh Safinah An-Naja’, oleh Al-‘Allamah Al-Faqih As-Sayyid Ahmad bin Umar Asy-Syatiri7- Al-Qaawaid Al-Fiqhiyyah, oleh Dr Abdul Aziz Muhd Azzam, cetakan Dar Al-Hadis

Sumber : MANHAL PMRAM 

1 comments:

  1. Penjelasan yg sgt baik! Hrap2 mana yg tak fhm boleh la fhm2kan konsep demonstrasi ni elok2..

    ReplyDelete

SAHABAT SEPERJUANGAN