Home » » IKRIMAH BIN ABU JAHAL

IKRIMAH BIN ABU JAHAL

Written By Teratak Al-Fateh Training & Consultancy on Thursday, August 25, 2011 | Thursday, August 25, 2011

Abu Ishaw As-Ayabi’i meriwayatkan, ketika Rasulullah SAW berjaya membuka kota Makkah, maka Ikrimah berkata: Aku tidak akan tinggal lagi disini!” Setelah berkata demikian, dia pun pergi berlayar dan memerintahkan supaya isterinya membantunya. Akan tetapi isterinya berkata: “kamu hendak kemana wahai pemimpin pemuda Quraisy?” Apakah kamu akan pergi ke suatu tempat yang tidak kamu ketahui?”

Ikrimah pun melangkahkan kakinya tanpa sedikitpun mengendahkan pertanyaan isterinya.

Ketika Rasulullah SAW bersama para sahabat telah berjaya membuka kota Makkah, maka isteri Ikrimah mengadu kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, sesungguhnya Ikrimah telah melarikan diri ke Yaman kerana ia takut jikalau kamu akan membunuhnya. Justeru itu aku memohon kepadamu supaya engkau berkenan menjamin keselamatannya.”

Rasulullah SAW menjawab: “Dia akan berada dalam keadaan aman!” Mendengar jawapan itu, maka isteri Ikrimah memohon diri dan pergi untuk mencari suaminya. Akhirnya dia berhasil menemukannya di tepi pantai yang berada di Tihamah. Ketika Ikrimah menaiki kapal, maka orang yang mengemudikan kapal tersebut berkata kepadanya: “Wahai Ikrimah, ikhlaskanlah sahaja dirimu!”

Ikrimah bertanya: “Apakah yang harus aku ikhlaskan?”

“Ikhlaskanlah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan akuilah bahawa Muhammad adalah utusan Allah!” Kata pengemudi kapal itu.

Ikrimah menjawab: “Tidak sama sekali, jesteru aku melarikan diri adalah kerana ucapan itu.”

Selepas itu datanglah isterinya dan berkata: “Wahai Ikrimah putera bapa saudaraku, aku datang menemuimu membawa pesan dari orang yang paling utama, dari manusia yang paling mulia dan manusia yang paling baik. Aku memohon supaya kamu tidak menghancurkan dirimu sendiri. Aku telah memohon buatmu jaminan keselamatan daripada Rasulullah SAW.”

Lalu Ikrimah bertanya kepada isterinya: “Wahai isteriku,benarkah apa yang telah kamu lakukan itu?”

Isterinya menjawab: “Benar, daku telah berbicara dengan baginda dan baginda berjanji akan memberikan jaminan keselamatan ke atas dirimu.”

Sebaik sahaja mendengar berita gembira daripada isterinya, hatinya tenang dan gembira, pada malam harinya Ikrimah menyatakan hasrat untuk bermesra dengan isterinya, akan tetapi isterinya menolaknya dengan lemah lembut sambil berkata: “Wahai suamiku , kamu masih belum beriman, sedangkan daku adalah seorang Muslim.”

Lalu Ikrimah berkata kepada isterinya: “Penolakan kamu itu adalah merupakan suatu masalah dan kekecewaan besar bagi diriku.”

Tidak beberapa lama selepas Ikrimah bertemu dengan isterinya , mereka pun kembali ke Makkah, setelah mendengar berita bahawa Ikrimah sudah pulang, maka Rasulullah SAW segera ingin menemuinya. Kerana kegembiraan yang amat sangat, membuatkan Rasulullah SAW terlupa memakai serbannya lantaran bersegera untuk menemuinya.

Setelah bertemu dengan Ikrimah, baginda pun duduk. Ketika itu Ikrimah bersama dengan isterinya berada di hadapan Rasulullah SAW maka Ikrimah pun terus mengucapkan : “Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.”

Mendengar ucapan Ikrimah itu, Rasulullah SAW merasa sangat gembira, kemudian Ikrimah kembali bersuara dengan penuh keinsafan dan penghormatan : “Wahai Rasulullah, ajarkanlah sesuatu yang baik yang harus aku ucapkan.”

Rasulullah SAW menjawab: “Ucapkanlah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya. Ikrimah kembali bertanya: “Selepas itu apa lagi wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Ucapkanlah sekali lagi, aku bersaksi bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Ikrimah pun mengucapkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW selepas itu baginda bersabda: “Jika sekiranya pada hari ini kamu meminta kepadaku sesuatu sebagaimana yang telah aku berikan kepada orang lain, nescaya aku akan menunaikannya.”

Ikrimah lalu berkata: “Aku memohon kepadamu wahai Rasulullah, supaya kamu berkenan memohon keampunan buatku kepada Allah atas setiap permusuhan yang pernah aku lakukan terhadap dirimu, setiap perjalanan yang aku lalui untuk memerangimu, setiap apa yang aku gunakan untuk melawanmu dan setiap perkataan kotor yang aku katakan di hadapan atau di belakangmu.”

Maka Rasulullah SAW pun berdoa: “Ya Allah, ampunilah dosanya atas setiap permusuhan yang pernah dilakukannya untuk bermusuh denganku, setiap langkah perjalanan yang dilaluinya untuk menyerangku yang tujuannya untuk memadamkan cahaya-Mu dan ampunilah dosanya atas segala sesuatu yang pernah dilakukannya secara langsung mahupun tidak ketika berhadapan denganku.”

Mendengar doa yang dipohon oleh Rasulullah SAW itu, alangkah senangnya hati Ikrimah, maka ketika itu juga ia berkata: “Ya Rasulullah! Aku bersumpah demi Allah, aku tidak akan membiarkan satu dinar pun biaya yang pernah aku gunakan untuk melawan agama Allah, melainkan akan aku ganti berlipat ganda demi membela agama-Nya. Begitu juga setiap perjuangan yang dahulu aku lakukan untuk melawan agama Allah, akan aku ganti dengan perjuangan yang berlipat ganda demi membela agama-Nya, aku akan ikut berperang dan berjuang sampai ke titisan darah yang terakhir.”

Demikianlah keadaan Ikrimah, setelah ia memeluk Islam, ia sentiasa menggabungkan diri dalam setiap peperangan hingga akhirnya ia menemui saat yang paling mulia iaitu syahid di jalan Allah. Semoga Allah berkenan melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya kepada Ikrimah.

Dalam riwayat yang lain pula diceritakan, bahawa ketika terjadinya Perang Yarmuk, Ikrimah juga turut menyertai serta berperang sebagai pasukan tentera yang berjalan kaki, lalu Khalid bin Walid berkata kepadanya: “Jangan kamu bertindak sedemikian wahai Ikrimah, kerana bahaya yang akan menimpamu adalah lebih besar!”

Ikrimah menjawab: “Wahai Khalid, Kerana kamu telah terlebih dahulu ikut berperang bersama Rasalullah SAW, maka biarlah tanggungjawab ini aku lakukan!”

Ikrimah tetap meneruskan niatnya itu, hingga akhirnya ia gugur di medan perang. Pada waktu Ikrimah gugur, ternyata di tubuhnya terdapat lebih kurang tujuh puluh luka bekas tikaman pedang, tombak dan anak panah. Abdullah bin Mas’ud pula berkata: Di antara orang-orang yang termasuk dalam barisan Perang Yarmuk adalah Haris bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amar. Di saat-saat kematian mereka, ada seorang sahabat yang lain memberikan mereka air minuman, akan tetapi setiap mereka menolaknya. Setiap kali air itu akan diberikan kepada salah seorang dari mereka yang bertiga orang itu, maka masing-masing mereka berkata: “Berikan sahaja air itu kepada sahabat di sebelahku.” Demikianlah keadaan mereka seterusnya, sehingga akhirnya mereka bertiga menghembuskan nafas yang terakhir yang penuh kemulian dalam keadaan tidak sempat meminum air itu.

Dalam riwayat yang lain pula dinyatakan: “Sesungguhnya Ikrimah bermaksud untuk meminum air tersebut, tetapi sewaktu ia hendak meminumnya, ia melihat ke arah Suhail dan Suhail pun serentak melihat ke arahnya, maka Ikrimah berkata: “Berikanlah air minum ini kepadanya, barangkali ia lebih memerlukannya daripadaku.” Suhail pula melihat kepada Haris, begitu juga Haris melihat kepadanya. Akhirnya Suhail berkata: “Berikanlah air minum ini kepada siapa saja, barangkali sahabat-sahabatku itu lebih memerlukannya daripadaku.” Begitulah keadaan mereka, sehinggalah tidak seorangpun di antara mereka yang dapat meminum air tersebut, seketika waktu berlalu maka syahidlah ketiga-tiga sahabat tersebut. Semoga Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya kepada mereka bertiga. Amin.”

0 comments:

Post a Comment

SAHABAT SEPERJUANGAN