Home » , , , » MANHAL PMRAM : Pengetahuan Asas Mengenai Puasa

MANHAL PMRAM : Pengetahuan Asas Mengenai Puasa

Written By Teratak Al-Fateh Training & Consultancy on Monday, July 23, 2012 | Monday, July 23, 2012

PENGERTIAN PUASA

Dari sudut bahasa ialah menahan diri secara mutlak samada menahan diri daripada makan atau melakukan apa jua perbuatan.

Firman Allah SWT :

"Sesungguhnya aku (Maryam) bernazar diam membisu kerana (Allah) ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun daripada kalangan manusia pada hari ini."(Surah Maryam : 26)

Dari sudut syara’ ialah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bermula terbit fajar (masuk waktu Subuh) sehingga tenggelam matahari (masuk waktu maghrib).

Firman Allah SWT :

“Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga maghrib.” – (Surah Al-Baqarah : 187)

TEMPOH BERPUASA

Maka tempoh berpuasa ialah bermula terbit fajar (masuk waktu Subuh) sehingga tenggelam matahari. Perlu diingatkan bahawa azan merupakan tanda bagi masuknya sesuatu waktu yang diwajibkan untuk solat. Justeru, azan tidak akan dilaungkan melainkan selepas masuknya waktu. Maka yang dikira adalah masuk waktu. Adapun sebagai contoh jika masuk waktu subuh pada jam 5.30 pagi dan azan dilaungkan lewat pada jam 5.40 pagi, maka selepas jam 5.30 pagi sudah tidak boleh makan dan minum walaupun azan lewat kerana tempoh dikira pada masuk waktu.

RUKUN PUASA

1- Niat

- Hadis Nabi SAW :


إِنَّما الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ


"Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat.” (Bukhari dan Muslim)


- Bagi puasa wajib di bulan Ramadan, atas pendapat muktamad Mazhab Syafie adalah tidak memadai seseorang yang berpuasa untuk niat satu bulan Ramadan dengan hanya satu niat sahaja. Tetapi disunatkan niat untuk sebulan berserta dengan niat pada setiap malam kerana dikhuatiri sekiranya lupa, maka masih sah mengikut pendapat Mazhab Maliki dan juga dikira mendapat pahala puasa sebulan sekiranya mati sebelum habis bulan Ramadan.[1]
- Untuk puasa wajib, niat pada malam hari sebelum naik fajar. Berbeza dengan puasa sunat maka masih boleh niat sebelum tergelincir matahari (waktu Zohor) selagi masih belum melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

2- Meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula terbit Fajar sehingga tenggelam matahari.

3- Orang yang berpuasa. [2]


PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA BERPUASA

1) Menyegerakan berbuka sekiranya yakin sudah tenggelam matahari. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’d, Nabi SAW bersabda :

لَا يَزَالُ الناس بِخَيْرٍ ما عَجَّلُوا الْفِطْرَ

"Berterusan umatku di dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka."(Bukhari dan Muslim)
- Menyegerakan berbuka puasa adalah supaya tidak meniru amalan orang Yahudi dan Nasrani.[3]
- Afdal berbuka dahulu walaupun dengan sebiji tamar sebelum daripada solat Maghrib.[4]
- Sekiranya sudah tenggelam matahari, maka sengaja melambat-lambat waktu berbuka hukumnya makruh. Akan tetapi sekiranya tidak sengaja kerana ada sebab yang tertentu maka tidak makruh.[5]
Adakah dikira berbuka dengan makan dan minum sahaja?
Hukum asal berbuka ialah wajib kerana hendak mengelakkan puasa yang berterusan, berpuasa sehingga 2 hari dan lebih. Begitu juga untuk mengelakkan daripada puasa akan tetapi tidak berbuka pada waktu malam.
Pendapat muktamad bahawa berbuka bukan hanya terhasil dengan makan dan minum semata-mata bahkan memadai dengan jima' atau perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.[6]

1) Berbuka dengan buah tamar[7]

- Begitu juga berbuka dengan air Zam-zam dan manisan.

2) Sahur dan melewatkan sahur [8]

- Sahur dan melewatkan sahur adalah 2 perkara sunat. Yang pertama ialah kelakuan sahur tersebut (makan selepas tengah malam) dan yang kedua ialah masa yang dilewatkan bagi sahur tersebut.
- Sunat melewatkan sahur sekiranya tidak berlaku syak akan naiknya fajar. Maka jika sudah syak akan naik fajar, afdal baginya meninggalkan sahur.[9]
- Waktu yang dikira bersahur ialah bermula tengah malam. Sebelum daripada itu tidak dipanggil bersahur.
- Terhasil sahur walaupun dengan makan dan minum yang sedikit bahkan dengan seteguk air.
- Dalil sunat bersahur ialah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda :

تَسَحَّرُوا فإن في السَّحُورِ بَرَكَةً

"Bersahurlah, kerana pada sahur tersebut ada keberkatan." (Bukhari dan Muslim)

- Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda,

اسْتَعِينُوا بِطَعام السَحر على صِيام النَهار وَبِقَيْلُولَة النَّهار على قِيامِ الليل

"Bantulah puasa kamu pada siang hari dengan bersahur dan untuk berjaga malam dengan tidur qailullah (tidur sekejap sebelum masuk waktu Zohor)".[10]

3) Menjauhi perkara-perkara yang keji dan tidak berfaedah

- Seperti mengumpat, bercakap bohong dan membazir masa dengan hiburan.
- Sekiranya orang yang berpuasa itu dimaki atau dihina, maka katakanlah, “Sesungguhnya aku sedang berpuasa." Sekiranya bimbang akan timbul perasaan riak maka memadai dengan menghadirkannya melalui hati sahaja. Disunatkan sekiranya tidak bimbang akan timbul perasaan riak untuk menyebut melalui lisan serta menghadirkannya di dalam hati.[11]
- Walaupun perbuatan-perbuatan keji seperti mencaci, fitnah dan menipu tidak membatalkan puasa tetapi perbuatan tersebut menyebabkan pahala puasa akan terhapus.
- Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda,


مَن لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ


"Barang siapa yang tidak meninggalkan percakapan dan perbuatan yang keji, maka tiada bagi Allah hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan dan minumnya (berpuasa)." (Bukhari dan Abu Daud)


4) Memperbanyakkan amalan sunat dan amalan soleh

- Seperti mengisi masa lapang dengan ilmu dan membaca al-Quran. Diriwayatkan bahawa pada bulan Ramadan, Jibrail bertemu dengan Rasulullah SAW setiap malam untuk mengajar dan bertadarus dengan baginda SAW.

5) Mandi junub sebelum naik fajar

- Supaya memulakan kewajipan puasa dalam keadaan yang bersih dan segar.
- Namun, jika orang yang berjunub pada waktu malam tetapi tidak mandi sehinggalah selepas naik fajar, maka puasa masih lagi sah.[12]
- Disunatkan untuk mandi sebelum naik fajar supaya keluar daripada khilaf yang mana ada suatu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa akan batalnya puasa orang yang berjunub.[13]

6) Membelanja atau menyediakan makanan untuk orang yang berbuka

- Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid Al-Juhani, Nabi SAW bersabda,

مَن فَطَّرَ صَائِمًا كان له مِثْلُ أَجْرِهِمْ من غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ من أُجُورِهِمْ شيئا

"Barang siapa yang memberikan makan berbuka bagi orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun." (Ibnu Majah)

7) Menjaga solat sunat terawih bermula malam pertama Ramadan sehingga akhir Ramadan
- Sabda baginda SAW :

مَن قام رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ من ذَنْبِهِ

“Barang siapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan keinsafan, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Bukhari dan Muslim)

PERKARA-PERKARA MAKRUH KETIKA BERPUASA

1) Berbekam.

- Begitu juga hukumnya makruh sekiranya kita melakukan bekam ke atas orang lain.
- Hal ini demikian kerana berbekam akan menjadikan badan lemah.

2) Menghidu makanan tanpa hajat.
3) Mandi dalam keadaan berendam walaupun mandi wajib.
4) Bersugi selepas tergelincir matahari (selepas waktu Zohor)
- Tidak makruh di sisi Imam Nawawi[14]

5) Terlampau kenyang dan banyak tidur.
- Menyebabkan masa terbuang dan menjadi malas.
- Seolah-olah tiada faedah berpuasa.

6) Terlampau kerap berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung dan memasuki tandas tanpa hajat.


Wallahu a’lam


Disediakan oleh :


Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012


**edit dan olahan semula daripada buku “Ramadhan : Puasa & IKtikaf” karangan Muhamad Zuhaili Saiman, cetakan pertama 2009, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)


Rujukan :
1- Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, cetakanb Maktabah Wahbah
2- Al-iqh Al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar Al-Fikr
3- Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, Syeikh Ali Jumaah, cetakan Al-Muqattam Li An-Nasyr Wa At-Tauzik
4- At-Taqrirat As-Sadidah Fi Al-Masail Al-Faridah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhamad Al-Kaff, cetakan Dar Al-Mirath An-Nabawiah
5- Hasyiah Baijuri, cetakan al-MAktab al-Islami


[1] Rujuk kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.
[2] Sesetengah kitab hanya meletakkan 2 rukun sahaja tanpa mengira rukun yang ketiga ini. – di dalam نيل الرجاء syarah kepada سفينة النجاء menyatakan 3 rukun berbeza dengan kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf yang hanya menyatakan 2 rukun sahaja iaitu niat dan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
[3] Hasyiah Baijuri jilid 1 bab puasa.
[4] Riwayat Muslim daripada Aisyah r.a dan Ibnu Abd Bar daripada Anas r.a - الفقه الإسلامي وأدلته jilid ke-3 bab puasa di bawah perbincangan perkara yang sunat bagi puasa.
[5] Hasyiah Baijuri jilid 1 bab puasa.
[6] Hasyiah Baijuri jilid 1 bab puasa.
[7] التقريرات السديدة في المسئل المفيد bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf
[8] Hasyiah Baijuri jilid 1 bab puasa.
[9] Hasyiah Baijuri jilid 1 bab puasa.
[10] الفقه الإسلامي وأدلته jilid ke-3 bab puasa di bawah perbincangan perkara sunat bagi puasa.
[11] Hasyiah Baijuri jilid 1 bab puasa.
[12] الفقه الإسلامي وأدلته jilid ke-3 bab puasa di bawah perbincangan perkara sunat bagi puasa dan kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.
[13] الفقه الإسلامي وأدلته jilid ke-3 bab puasa di bawah perbincangan perkara sunat bagi puasa.
[14] Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad Ibnu Muhammad Al-Kaf.

Sumber : MANHAL PMRAM

0 comments:

Post a Comment

SAHABAT SEPERJUANGAN