Allah Maha Melihat. Melihat seluruhnya. Apabila mata Allah melihat,
pasti tidak akan ada satu pun yang terlepas dari pandangan Allah walau
sekelumit zarah sekalipun yang zahir mahupun yang tersembunyi.
Subhanallah...
Tetapi ciptaan yang bernama "insan" itu seringkali melihat dengan pandangan hati.
Andai hati itu bersih, pasti yang tersembunyi akan kelihatan berseri.
Tetapi andai hati itu banyak tompok dosa yang berkelompok, maka hasilnya tunggu dan lihat.
Saya pernah mendengar satu tazkirah yang pengisiannya sangat bermakna.
"Di hati seorang insan yang penuh dengan
kebergantungannya pada Allah S.W.T itu pasti keputusannya juga
sepenuhnya bergantung pada keputusan Allah."
Pilihan Allah adalah pilihannya, tetapi bagaimana kita tahu pilihan
itu adalah pilihan Allah terhadap kita? Pada saya jawapannya adalah
istikharah. Istikharah memohon petunjuk Allah S.W.T.
Pandanglah dengan pandangan Allah. Pandangan kebaikan untuk setiap ketentuan.
Apabila kita memandang setiap ketentuan Allah, setiap ujian Allah dan
setiap pemberian Allah ke atas diri kita dengan pandangan yang penuh
hikmah, pasti yang akan kita temui bukan noktah.
Tetapi kelembutan dan kasih sayang yang tidak pernah renggang,
sungguhpun yang DIA berikan itu adalah kesakitan yang kita rasakan tidak
akan pernah hilang.
Masa yang berlalu berbekalkan kesabaran akan membuka mata yang
bersengkang untuk meminta kebenaran hikmah luas terbentang dan ketika
itu, adakah masih mahu menentang? Atau megeluh panjang di atas segala
nasib yang dikatakan malang?
Jangan, Allah itu Maha penyayang. Apabila Allah memberikan pasti
pemberian itu ada kebaikan yang kemudiannya akan membuat kita
tenang. Andai kesabaran menjadi tunjang dan berbaik sangka pada Allah
yang selalu kita ingatkan.
"Insan" itu kejadiannya banyak kelemahan
ujian datang untuk mendidik hati untuk beriman lembut menerima setiap
pengajaran berfikir tentang kekuasaan DIA yang menciptakan.
Manusia itu tidak terlepas dari ujian yang menjadikan rapuhnya Iman,
tersungkur ke tanah bagai tiada kekuatan untnk bangkit bertahan.
Menimbulkan banyak persoalan, kenapa dan mengapa Allah memberikan
kesakitan.
Namun apabila pertolongan Allah datang melalui teman, segala
peringatan Allah disampaikan melalui peti suara insan, kembali kukuh,
senyum menikmati hikmah kehidupan. Mengambil pelajaran dan pengajaran
atas setiap pemberian.
Sesungguhnya ujian begini sangatlah ringan andai dibandingkan dengan
mereka terdahulu yang berperang menegakkan kebenaran. Subhannallah.
Allah itu masih sayang dan sangat sayang kerana memberikan ujian.
Ujian itu tandanya mata Allah, perhatian Allah masih pada kita, masih
belum berpaling dari kita dan masih tidak jemu mahu mendidik kita agar
sedar akan siapa diri kita, amal ibadah kita, dunia kita dan Akhirat
kita kelak. Insya-Allah.
“Apakah
manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami
telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami
telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah
mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang
dusta.” (al-Ankabut, ayat 2-3)
0 comments:
Post a Comment