Remaja adalah kelompok manusia yang baru meninggalkan alam
kanak-kanak. Tanda peralihan dari alam kanak-kanak ke alam remaja
dengan kematangan biologi seperti haid dan mimpi serta keluar mani.
Mimpi menyebabkan badan cepat membesar, rambut atau bulu-bulu mula
tumbuh di bahagian tertentu badan dan perubahan yang paling ketara
ialah soal nafsu seks.
Waktu inilah Islam mendidik supaya menguasai diri. Apabila diri
terkendali, semua menjadi teratur. Tetapi apabila tertewas, berlakulah
penyimpangan.
Penyimpangan masalah seksual khususnya di kalangan remaja semakin
mengkhuatirkan. Pergeseran kefahaman, dosa masing-masing tanggung,
kubur masing-masing juga, membuatkan masalah dosa dan zina sesuatu yang
mula dipandang enteng.
Padahal penyimpangan seks iaitu zina sesuatu yang amat keji dan
mesti dihindari oleh setiap Muslim sebagaimana firman Allah yang
bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu
adalah perbuatan yang sangat keji dan satu jalan yang sangat buruk."
Seks adalah satu anugerah Allah yang diberikan kepada manusia
sebagai satu nikmat dan perhiasan kehidupan seperti juga haiwan dan
tumbuhan.
Memang patut jika manusia mempunyai ghairah seks atau keinginan untuk melempiaskan keinginan seksual itu.
Allah tidak melarang manusia melempiaskan hawa nafsunya selama mana
cara yang dihalalkan, pada saat yang tidak terlarang dengan ikatan
perkahwinan yang sah
Malah Nabi seakan tidak mengaku umat kepada mereka yang punyai kemampuan untuk berkahwin tetapi meninggalkannya.
Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa
benci dan enggan menurut sunnahku (antaranya berkahwin) maka dia bukan
dari kalanganku."
Ikatan pernikahan adalah jalan yang halal dan diiktiraf syarak untuk
melepaskan kemahuan seksnya. Ini bererti orang yang belum berkahwin
jangan cuba-cuba melepaskan seksnya.
Islam satu agama yang amat hebat menampilkan cara pengawalan sangat
berkesan dalam mengatasi penyakit seksual iaitu sebagaimana dalam
firman Allah yang kita baca di atas iaitu perkataan "jangan kamu
menghampiri zina."
Jika menghampiri sudah dilarang dan ditegah, apa lagi melakukannya.
Menghampiri maknanya apa saja perbuatan yang menjadi penyebab,
pendorong, keinginan dan sebagainya adalah haram.
Sekiranya ada pendorong akan mudah datang keinginan diulit bisikan
syaitan sama merelakan pula, apa lagi terjadilah perbuatan terkutuk
yang saban hari kita lihat dan dengar remaja melahirkan anak luar
nikah, bayi yang tidak berdosa ditemui mati di timbunan sampah, perut
terburai dimakan pula sekumpulan anjing liar. Dahlah berzina, amat
jijik kezaliman terhadap bayi yang tidak tahu apa-apa.
Oleh itu pergaulan bebas, berdua-duaan, berpimpin tangan, duduk
rapat-rapat dan berhimpitan di atas motosikal adalah muqaddimah yang
kuat mendorong berlakunya penyimpangan seksual.
Alam remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut Nabi
dalam satu senarai orang-orang 'VVIP' akhirat ialah remaja yang
terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.
Maksud hadis lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata: "Sesungguhnya aku takut kepada Allah."
Pendidikan seks menurut Barat amat berbeza dengan Islam agama yang
sangat suci ini. Masyarakat remaja Barat yang sangat bebas serta serba
tidak terkawal itu hanya mengajar bagaimana mencegah supaya jangan
berlaku kehamilan.
Seks adalah hak peribadi yang tidak terlarang bagi mereka. Bagi
mereka hamil di kalangan remaja berlaku kerana remaja tidak tahu seks
secara selamat atau 'save sex,' bukannya hendak fikir salahnya berzina
itu.
Pendidikan seks dalam Islam mendidik remaja bukan sahaja supaya
tidak berzina tetapi juga supaya menjauhi sebab dan segala pendorong
berlakunya perzinaan.
Sebab itu, mendidik mengenai syurga neraka supaya umat Islam gerun
dengan ancaman neraka dan akhirnya menolak nikmat sementara supaya
terselamat api neraka yang membakar selamanya.
Langkah pencegahan yang dibawa Islam ialah jaga pandangan mata
dengan tidak melihat aurat jantina berlainan termasuk gambar serta
filem porno, tidak berdua-duaan lelaki dan wanita yang bukan mahram
ditempat sunyi, tidak bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita
termasuk bersalaman dan tidak bergaul bebas lelaki dan wanita.
0 comments:
Post a Comment