Entri kali ini penulis berasa terpanggil untuk membicarakan perkara yang berkaitan serba sedikit mengenai purdah / niqab / penutup muka dan sebagainya yang kini kian menjadi tarikan terhadap para wanita untuk mengamalkannya.
Sebelum meneruskan apa jua pandangan dan kritikan, ingin sekali penulis ketengahkan ayat-ayat Al-Quran sebagai pemula bicara. Moga hati-hati yang membacanya dapat menela'ah apa yang tersirat pada setiap tafsiran ayat ini.
"Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-Ahzab ayat 59)
Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu berkata,
"Allah memerintahkan kepada isteri-isteri kaum mukminin, jika mereka keluar rumah kerana suatu keperluan, hendaklah mereka menutupi wajah mereka dengan jilbab daripada kepala mereka. Mereka dapat menampakkan satu mata saja."
(Syaikh Mushthafa Al-Adawi menyatakan bahawa perawi riwayat ini dari Ibnu Abbas adalah Ali bin Abi Thalhah yang tidak mendengar dari ibnu Abbas. Lihat Jami' Ahkamin Nisa IV/513)
Manakalah Qatadah berkata tentang firman Allah ini (QS. Al Ahzab: 59),
"Allah memerintahkan para wanita, jika mereka keluar (rumah) agar menutupi alis mereka, sehingga mereka mudah dikenali dan tidak diganggu."
(Riwayat Ibnu Jarir, dihasankan oleh Syaikh Mushthafa Al-Adawi di dalam Jami' Ahkamin Nisa IV/514)
Kemudian diriwayatkan Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu berkata,
"Wanita itu menghulurkan jilbabnya ke wajahnya, tetapi tidak menutupinya."
(juga Riwayat Abu Dawud, Syaikh Mushthafa Al-Adawi menyatakan: Hasan Shahih. Lihat Jami' Ahkamin Nisa IV/514)
Abu 'Ubaidah As-Salmani dan lainnya mempraktikkan cara menghulurkan jilbab itu dengan selendangnya, iaitu menjadikannya sebagai kerudung, lalu dia menutupi hidung dan matanya sebelah kiri, dan menampakkan matanya sebelah kanan. Lalu dia menghulurkan selendangnya dari atas (kepala) sehingga dekat ke alisnya, atau di atas alis. (Riwayat Ibnu Jarir, dishahihkan oleh Syaikh Mushthafa Al-Adawi di dalam Jami' Ahkamin Nisa IV/513)
As-Suyuthi berkata,
"Ayat hijab ini berlaku bagi seluruh wanita, di dalam ayat ini terdapat dalil kewajipan menutup kepala dan wajah bagi wanita."
(Lihat Hirasah Al-Fadhilah, hal 51, karya Syaikh Bakar bin Abu Zaid, penerbit Darul 'Ashimah)
Perintah menghulurkan jilbab ini meliputi menutup wajah berdasarkan beberapa dalil:
1. Makna jilbab itu sendiri di dalam bahasa Arab adalah: Pakaian yang luas yang menutupi seluruh badan. Sehingga seorang wanita wajib memakai jilbab itu pada pakaian luarnya daripada hujung kepalanya turun sampai menutupi wajahnya, segala perhiasannya dan seluruh badannya sampai menutupi kedua hujung kakinya.
2. Yang biasa nampak pada sebahagian wanita jahiliah adalah wajah mereka, lalu Allah perintahkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam serta isteri-isteri orang mukmin untuk menghulurkan jilbabnya ke tubuh mereka. Kata idna' (pada ayat tersebut يُدْنِينَ -ed) yang ditambahkan huruf (عَلَي) mengandungi makna menghulurkan dari atas. Maka jilbab itu diulurkan dari atas kepala menutupi wajah dan badan.
3. Menutupi wajah, baju, dan perhiasan dengan jilbab itulah yang difahami oleh wanita-wanita sahabat.
4. Dalam firman Allah: "Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu", merupakan dalil kewajipan hijab dan menutup wajah bagi isteri-isteri Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam, tidak ada perselisihan dalam hal ini di antara kaum muslimin. Sedangkan dalam ayat ini isteri-isteri Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam disebutkan bersama-sama dengan anak-anak perempuan beliau serta isteri-isteri orang mukmin. Ini bererti hukumnya mengenai seluruh wanita mukmin.
5. Dalam firman Allah: "Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu." Menutup wajah wanita merupakan tanda wanita baik-baik, dengan demikian tidak akan diganggu. Demikian juga jika wanita menutupi wajahnya, maka lelaki yang rakus tidak akan berkeinginan untuk membuka anggota tubuhnya yang lain. Maka membuka wajah bagi wanita merupakan sasaran gangguan dari lelaki nakal/jahat. Maka dengan menutupi wajahnya, seorang wanita tidak akan memikat dan menggoda lelaki sehingga dia tidak akan diganggu.
(Lihat Hirasah Al-Fadhilah, hal 52-56, karya Syaikh Bakar bin Abu Zaid, penerbit Darul 'Ashimah).
Alhamdulillah di atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT terhadap seluruh muslimah di atas muka bumi ini kerana bilangan kamu semakin bertambah dan semakin berkembang.
Pembudayaan berpurdah semakin menjadi popular dewasa ini setelah pereka fesyen busana muslimah dengan rela hati mengambil purdah sebagai trademark terhadap rekaan fesyen mereka. Itu merupakan antara halnya yang berkaitan fesyen terkini akan tetapi apa yang penulis ingin kongsikan bersama bukanlah berkenaan fesyen berpurdah akan tetapi sejauh mana pengunaan purdah itu mampu menjadikan seseorang muslimah itu anggun dari segi imannya, akhlaknya dan perwatakannya sebagai srikandi Islam yang asli.
Apabila ditanya " Kenapa berpurdah?" kepada muslimah yang telah menggamalkan pemakaian purdah maka terdapatlah pelbagai jawapan yang kadangkala enak di dengar dan adakalanya berasa jelek dan tertanya-tanya dengan jawapan yang diberikan oleh penggamal purdah. Antara jawapan yang dapat dikongsi bersama adalah :
" Saya pakai purdah sebab tertarik dengan kawan-kawan yang pakai purdah."
" Pakai purdah membuatkan saya lebih yakin diri untuk berhadapan dengan masyarakat."
" Nampak cantiklah pakai purdah, sebab tu saya tertarik untuk berpurdah."
" Benda nie susah nak ceritalah ustaz, maybe lebih kepada gerak hati kot."
" ... dah budaya sekeliling ramai yang berpurdah, so saya ikut jelah."
" Ramai kata lebih selamat dari gangguan lelaki kalau kita berpurdah."
" Lebih muslimah sikit kalau berpurdah ustaz."
Walau apa pun jawapan yang terpacul dari mulut muslimah yang berpurdah ianya tidak menjadi masalah kerana mereka telah pun berjaya mempamerkan kelainan dan perbezaan di antara wanita muslimah dan wanita kebanyakkan lainnya. Tahniah diucapkan kepada seluruh muslimah yang berpurdah dan bersyukurlah kerana anda berjaya membawa perwatakan muslimah yang lebih jitu di dalam kehidupan seharian anda.
Cumanya ada beberapa perkara yang penulis ingin titik beratkan kepada seluruh muslimah yang berpurdah, ianya berkaitan niat anda dalam pemakaian purdah. Niat yang berlegar dihati setiap manusia tidak akan dapat diketahui sepenuhnya oleh makhluk dan ianya hanya terletak di bawah pengetahuan Tuan kepada makhluk iaitu Allah Azzawajalla.
Apabila menyebut perkataan NIAT ini, penulis teringat dengan beberapa jawapan dari pemuda-pemuda amnya setelah diajukan persoalan " Agaknya mengapa wanita berpurdah? ", antaranya :
" Sebab dia lawa la yang dia pakai purdah, takut muka dia yang cantik tu menjadi fitnah terhadap mata-mata lelaki yang memandang."
" Muka tak lawa la tu. Lau pakai purdah nampak cun sikit yer dak ustaz, ke camne? ".
" Ikut-ikut member la tu. Balek mesia kang kompem tak pakai dah."
" Fesyen bos."
" Rasa best sangat la kot pakai purdah."
" Lantak diorang la nak pakai purdah, bukan kaco hidup ku pon. Hak diorang, pedulikanlah."
Pedulikan apa sahaja kata pemuda-pemuda tentang diri anda yang berpurdah. Anda yang mengetahui apa yang terkandung di dalam hati anda. Cuma perlu diingatkan, memakai purdah bukan sekadar ikut-ikutan, ingin menutup kelemahan diri atau demi panggilan fesyen yang pastinya tidak akan berkesudahan.
Ikhlaskanlah hatimu Lillahi Ta'ala agar pengamalanmu boleh dikira pahala di sisi Allah dan moga-moga dengan niat yang ikhlas itu kelak mampu untuk menuntun dirimu ke syurga. Maka bagi pemakai purdah yang sebelum ini tersasar jauh dari niat yang ikhlas Lillahi Ta'ala mari bersama perbaharui niat yang lama kepada niat yang baru
" Sungguh aku memakai purdah ini semata-mata mengharap redha Allah SWT kerana aku ingin mendekatkan diri kepadaNya."
Setelah niat diperbaharui perlu ada beberapa lagi ciri yang perlu anda penuhi bagi mencapai tingkat sebenar sebagai seorang pemakai purdah, antaranya :
1. Santun dan tegas dalam berbicara.
2. Tidak melirikkan mata dalam apa jua keadaan.
3. Jangan tabarruj dalam menghiasi mata.
4. Merasakan diri masih banyak kekurangan.
5. Menghindar body language.
6. Lebih ramah sesama wanita lain.
7. Hindar sifat merasa diri mulia.
8. Menggelak dari menutur kalam lagha / berjidal.
9. Mengorbankan diri dalam dakwah dengan lebih konsisten.
10. Berakhlak dengan akhlak sebenar seorang muslimah.
Begitulah di antara beberapa ciri yang boleh dijadikan panduan kepada pemakai purdah. Apabila anda telah menyarungkan purdah ke muka anda maka bertimpa-timpalah bebanan kerja yang wajib anda pikul dengan berhati-hati agar ianya tidak bertaburan dan keciciran. Dan yang paling penting agar ianya tidak menjadi fitnah ke atas Islam itu sendiri.
Sekiranya anda tertinggal salah satu di antara ciri-ciri yang penulis sebutkan tadi maka boleh dikatakan secara automatiknya anda tidak lagi bergelar srikandi yang membawa imej Islam akan tetapi anda akan bertukar menjadi virus perosak kepada imej Islam yang mulia.
Semoga apa yang diperkatakan penulis ini dipandang sebagai satu perkongsian dan moga-moga ianya tidak dianggap ancaman oleh seluruh warga muslimah yang berpurdah. Semoga anda yang berpurdah berjaya menyelami hakikat kemanisan iman dan juga berjaya menggapai tingkat cinta dan sayangkan Allah serta Rasulullah SAW.
Wallahu wa Rasuluhu a'lam..
Sumber : Iluvislam
0 comments:
Post a Comment