Dalam menyelusuri kehidupan sehari-hari, jarang dikalangan kita mengambil berat tentang bulan-bulan Islam atau lebih dikenali dengan Bulan Hijrah. Keadaan sebegini secara halus akan menyebabkan kita lupa dengan hari-hari bersejarah dalam Islam sehingga rasa cinta dan sayang yang perlu ditanam kedalam hati-hati semakin hari makin menghilang.
SAFAR ( (ﺻﻔﺮdari sudut bahasanya membawa erti "kosong". Ianya juga bermaksud "tiupan angin". Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan ketika itu adalah waktu berangin.
Dari segi istilahnya bulan Safar membawa erti "bulan di mana orang-orang arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang dan melakukan serangan serta menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka".
PERISTIWA BERSEJARAH BULAN SAFAR
1. Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid.
Ia berlaku sebelum Baginda s.a.w. dilantik menjadi Rasul. Khadijah antara individu yang menjadi tulang belakang kepada proses permulaan dakwah baginda di Kota Mekah bahkan beliau merupakan rusuk kiri yang sentiasa menemani Baginda s.a.w. dalam apa jua keadaan yang dilalui oleh Baginda susah dan senang.
2. Persidangan Darul Nadwah.
Ia dianjurkan oleh pihak musyrikin Jahiliah yang terdiri dari berbagai-bagai kabilah di Mekah. Persidangan ini dianjurkan khas untuk menyekat, menekan dan melumpuhkan terus pengaruh dan dakwah Rasullullah s.a.w. ketika baginda masih lagi berada di Kota Mekah. Secara ringkas diceritakan bahawa persidangan ini dipengerusikan oleh Abu Jahal dan dihadiri juga oleh Iblis laknatullah yang menyamar sebagai seorang tua dari Najad.
Resolusi dari persidangan tersebut ialah Baginda s.a.w. dijatuhi hukum bunuh dan setiap kabilah hendaklah menghantar seorang wakil yang terdiri dari pemuda yang paling gagah untuk sama-sama membunuh Rasulullah s.a.w. Kabilah Bani Abdul Manaf tidak mampu untuk mempertahankan Baginda daripada kabilah-kabilah yang terlibat dalam pakatan pembunuhan itu. Maka Allah s.w.t. telah memerintahkan Baginda s.a.w. keluar berhijrah dari Mekah ke Madinah. Lalu berlakulah kisah penghijrahan Rasulullah bersama para sahabatnya ke Yathrib pada bulan Rabi’ul Awwal.
3. Rasulullah s.a.w. gering.
Pada akhir bulan Safar menyaksikan kesedihan yang menyelubungi diri para sahabat Rasulullah s.a.w. kerana melihat keadaan Baginda s.a.w. mulai gering setelah kembali dari mengerjakan Haji Wida' (haji terakhir Baginda). Benarlah sebagaimana keresahan daripada khothir (lintasan hati) Sayyidina Umar el-Khattab setelah turunnya Firman Allah : “.. hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu (Islam), dan aku telah sempurnakan semua nikmat-nikmat Ku dan aku redha agama Islam sebagai agama kamu ..”. Baginda s.a.w. telah wafat pada 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijriah. “Allahumma solli ala Muhammad”
4. Peperangan yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w
- Peperangan Al-Abwa’ (Wuddan) pada tahun ke-2 Hijrah setelah mendapat kebenaran syariat untuk berperang yang merupakan peperangan pertama dihadiri oleh Rasulullah s.a.w. dan 70 orang sahabat selepas berhijrah ke Madinah. Namun pulang Baginda s.a.w. bersama para sahabat tanpa perang.
- Peperangan Dzu Amarr pada Tahun ke-3 Hijrah bersama 450 tentera Islam. Ia berlaku kerana Bani Tsa’labah dan Bani Dzu Ammar berkumpul untuk melakukan persiapan perang keatas umat Islam. Namun setelah mendengar ketibaan tentera Islam mereka langsung melarikan diri.
- Peperangan al-Raji (Bi’ru Ma’unah) pada tahun ke-4 Hijrah. Seramai tujuh orang sahabat diutus mengajar Islam kepada kaum ‘Udal dan al-Qarah namun dikhianati perutusan itu dengan serangan hendap. Kesemuanya dibunuh ditempat itu kecuali Khubaib bin ‘Adiy yang dibawa dan dibunuh di Mekah. Beliau merupakan yang pertama tunaikan solat dua raka’at sunat sebelum dibunuh yang kemudian menjadi sunnah ikutan.
- Pembukaan Kota Khaibar (kubu orang Yahudi) pada tahun ke-7 Hijrah. Ia disertai oleh 1600 tentera muslimin dan juga 20 orang sahabiah, antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd. Mutallib dan Ummu Aiman. Seramai 15 orang sahabat gugur syahid manakala dipihak Yahudi pula seramai 93 orang mati terbunuh. Orang Yahudi pada mulaannya merasakan bahawa mereka tidak boleh ditewaskan kerana keteguhan kubu, alat kelengkapan senjata yang lengkap dan bilangan mereka yang ramai.
5. Peperangan Maraj Rahit pada tahun ke-13 Hijrah.
Ianya di pinggiran bandar Damsyik, Syria di bawah pimpinan Khalid bin Al-Walid bagi menyebarkan Islam setelah kewafatan Rasulullah s.a.w..
6. Kewafatan panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubiy pada 27 Safar 589 Hijrah.
Beliau adalah seorang pemimpin agung dunia Islam yang menawan kembali Kota Jerusalem (Palestin) daripada tangan tentera Salib Kristen dan pemimpin yang membebaskan Mesir daripada kerajaan Fatimiyah yang dipelopori oleh mazhab Syiah.
7. Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad.
Ianya jatuh ke tangan Tatar pada tahun 656 Hijrah. Khalifah Al-Mu'tasim Billah, terbunuh beserta ahli keluarganya, orang-orang kenamaan negara dan ratusan ribu umat Islam. Beribu-ribu kitab Islam dimusnah.
Beberapa info tentang salah tanggapan sesetengah umat Islam terhadap bulan Safar :
Apa yang menyedihkan setiap kali ketibaan bulan Safar, masih terdapat daripada budaya jahiliah yang diperangi oleh Islam sebelum ini seakan-akan muncul semula walaupun ianya tidaklah meluas dikalangan kita.
Dalam bulan Safar, ada di kalangan umat Islam mengambil kesempatan melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar merupakan bulan turunnya bala bencana dan mala-petaka daripada Allah s.w.t. khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu.
Selain daripada amalan tersebut, terdapat juga umat Islam pada masa ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat.
Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut. Kesemua ini merupakan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam dan boleh merosakkan akidah.
Sebenarnya bencana atau bala itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja melainkan atas kehendak dan izin Allah s.w.t. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah s.w.t. :
قل لن يصيبنا إلا ما كتب الله لنا هو مولانا وعلى الله وعلى الله فليتوكل المؤمنون
“Katakanlah (wahai Muhammad) tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah Allah catatkan kepada kami, Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah mereka yang beriman harus bertawakkal”.(Taubah : 51)
Selendang kasih Nur Ilahi kepada hambaNya tidak mengenal waktu dan ketika. Dalam apa jua keadaan dan masa sekalipun, sebenarnya Allah ingin memberi peluang kepada setiap dari kita mengabdikan diri kepadaNya. Jangan hanya disebabkan terdapat sesuatu kelebihan dan fadhilat yang besar yang telah dijanjikan Allah baharulah tergerak diri kepada ubudiyyah dan mengerjakan amal kepadaNya.
Safar adalah bulan dimana Allah ingin menguji para hambaNya dan sebagai satu fatrah imtihan sejauh mana keikhlasan hati kita yang mengaku beriman kepadaNya.
Sesuailah dengan keadaan dan situasi kita semua. Sekarang adalah fatrah imtihan. Jangan dianggap bulan ini memberi kesan kepada ketidakberhasilan kita untuk memperoleh kejayaan. Hidupkankan sunnah Rasulullah dan hapuskan bidaah Jahiliah.
Kesimpulan
Sebagai umat Islam lebih-lebih lagi kita dikalangan pemuda dan pemudi yang memahami serta mencintai Islam mestilah sentiasa mengambil ihtimam (ambil berat) terhadap sejarah yang berlaku dalam ketamadunan Islam secara khusus dan ketamadunan dunia secara umum.
Secara asas, sejarah banyak memberikan kita ‘ibrah (pengajaran) terhadap peristiwa yang telah berlaku satu ketika dahulu. Ini sebagaimana juga yang telah terkandung dalam mukjizat yang abadi iaitu al-Quran yang menceritakan pelbagai peristiwa-peristiwa dari sejarah lampau ketamadunan umat manusia sebagai proses pembelajaran kepada umat yang terkemudian.
Itulah manhaj dan sistem atur kepada sebuah peradaban umat agar sentiasa mengkoreksi diri mereka melalui sejarah-sejarah lampau.
Pada masa yang sama, kita perlu mengambil berat terhadap isu-isu yang melanda umat Islam setiap ceruk dan aktiviti mereka. Biarlah sensitiviti yang dimainkan oleh kita menjadi satu wasilah kepada sebuah kesatuan dan kebangkitan umat Islam pada masa akan datang.
Bahkan hari ini, bermulanya 1 Safar 1434 Hijriah bersamaan dengan 14 Disember 2012 (Jumaat), Kesatuan Ulama' Sedunia telah menyeru seluruh kaum muslimin menjadikan hari ini sebagai "HARI MENYOKONG PERJUANGAN UMAT ISLAM SYRIA SEDUNIA".
Kalaulah bulan Safar ini di mana orang-orang arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang dan melakukan serangan serta menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka maka bermula pada saat inilah kita juga cuba berusaha untuk menyatakan sokongan keatas umat Islam Syria dan seluruh negara umat Islam yang ditindas.
Kita juga jangan biarkan umat dalam kesesatan hasil daripada mereka bertaqlid membabi buta tanpa pedoman Quran dan Sunnah samada disebabkan nenek moyang atau ideologi-ideologi baru sebagai satu trend hidup yang meratah anak bangsa sesebuah umat dalam ketamaduan mengejar materialisme (kebendaan) dunia.
Mainkan peranan dan keistimewaan kita sebagai umat Muhammad s.a.w. kerana kita dibangkitkan untuk menegakkan ma’ruf dan membenam munkar. Hasilnya, Islam akan terpacak gah di seantaro dunia dengan kemurniaan yang sedia ada padanya kerana sememangnya manhaj Islam adalah dari yang Maha Mulia.
Wassalam.
“..BULAN SAFAR MERUPAKAN FATRAH IMTIHAN BAGI MENGUJI KEIKHLASAN KITA KEPADA-NYA.. ”
“.. اللهم اجعلنا من الناجحين والفائزين والمتفوقين فى الإمتحانات
والدين والدنيا والأخرة ولا تجعلنا من الراسبين والخاسرين ..”
“.. DO THE BEST FOR OUR EXAMINATION ..”
"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"
Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012
_______________________________________
RUJUKAN :
1. Kitab Lathoiful Ma'arif fima al-Mawasimul 'Am minal Wazoif karangan al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali.Cetakan Maktabah Darul Hadis, Mesir.
2. Kitab al-Rahiqul Makhtum Bahsun fis Sirah al-Nabawiyyah karangan Syeikh Safiurrahman al-Mubarakfuri.Cetakan Maktabah Darul Aqidah, Mesir.
3. Kitab Fiqh Sirah ma'a Maujizul Tarikh al-Khilafah al-Rasyidah karangan Dr. Mhammad Saied Ramadhan al-Buthi. Cetakan Maktabah Darul Salam, Mesir.
4. Kitab Tarikh al-Fikrul Islami karangan Dr. 'Isomuddin bin Abdul Ra'uf al-Faqqi.Cetakan Maktabah Darul Fikr Arabi, Mesir.
5. Kitab al-Mausu'ah al-Muyassarah fi al-Tarikhul Islami karangan Dr. Raghib al-Surjani. Cetakan Maktabah Muassasah Iqra', Mesir.
Sumber : MANHAL PMRAM
0 comments:
Post a Comment