Home » » Tak takut imej ngeri kotak rokok

Tak takut imej ngeri kotak rokok

Written By Lisanul Hakim (Ahmad Shafiq Ismail) on Tuesday, January 04, 2011 | Tuesday, January 04, 2011

FAKTOR pengaruh rakan sebaya menjadi punca kepada ketagihan merokok bagi Sareena Abdullah sejak berusia 17 tahun.
Semuanya bermula selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sareena ketika itu merasakan dirinya sudah bebas melakukan apa saja yang diingini tanpa bantahan keluarga.

"Jika sebelum ini keluarga melarang saya keluar rumah bersama rakan atas alasan saya sibuk dengan SPM, tamat saja peperiksaan itu saya bagaikan diberi lampu hijau untuk melakukan aktiviti luar bersama rakan sekolah.
"Disebabkan banyak perkara yang tidak dapat saya lakukan sebelum ini kerana pergerakan terbatas, kebebasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan menyertai pelbagai aktiviti sosial seperti menonton wayang, karaoke dan 'menjelajah' pusat beli-belah sehingga lewat malam," katanya yang kini berusia 27 tahun.

Bermula dengan shisha yang diperkenalkan sahabat baiknya ketika mereka minum petang di sebuah restoran mamak di Damansara, Sareena bagaikan ketagih dan sering ke restoran itu bagi melepaskan ketagihannya.

"Selepas beberapa bulan, saya mula rasakan shisha tidak lagi mampu mengatasi ketagihan saya lalu beberapa rakan yang sememangnya merokok, menyuruh saya mencubanya.
"Saya tidak begitu menyukainya ketika kali pertama mencuba rokok, tapi selepas beberapa hari, saya mula seronok hingga akhirnya menghabiskan sekotak rokok dalam tempoh tiga hari.

"Bagaimanapun, saya curi-curi menghisapnya kerana takut diketahui keluarga. Sejurus diterima menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam, saya makin galak merokok kerana tidak bimbang dicekup keluarga," katanya.
Tabiat buruk itu berterusan sehingga menginjak ke dunia pekerjaan dan Sareena tidak segan-segan memperlihatkan tabiatnya itu kepada rakan sekerja.

"Ada juga yang menggelar saya wanita murahan kerana menghisap rokok, tetapi itu sama sekali tidak menggugat ketagihan saya. "Imej mengerikan pada kotak rokok juga langsung tidak menakutkan saya, malah saya mempersendakan imej itu," ujarnya.

Pada usia 24 tahun, Sareena mendirikan rumah tangga bersama rakan sekuliahnya dulu yang juga seorang perokok. Suaminya tidak kisah Sareena merokok malah mereka saling berkongsi rokok.

"Ketika usia perkahwinan kami masuk tahun ketiga saya tiba-tiba mengalami kesakitan di perut hingga hampir pengsan. "Suami kemudiannya membawa saya ke klinik berhampiran kediaman kami dan doktor memberitahu bahawa saya mungkin keguguran.

"Saya rasakan seperti langit menghempap diri apabila mendengar kata-kata doktor itu. Lalu, kami diminta ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. "Di hospital, doktor mengambil segala butiran dan sejarah perubatan saya hingga akhirnya saya disahkan keguguran yang besar kemungkinan berpunca daripada merokok.

"Saya menangis tanpa henti apabila mendengar khabar itu memandangkan kami benar-benar inginkan cahaya mata. Sejak itu, saya nekad berhenti merokok dan mula menyertai sesi kaunseling di hospital bagi mengatasi ketagihan itu," ujarnya.

Menerusi sesi kaunseling itu juga Sareena mengetahui mengenai penggunaan tampalan nikotin dan sudah tiga minggu menggunakannya.

0 comments:

Post a Comment

SAHABAT SEPERJUANGAN