Home » , » Mengembalikan Kefahaman Mengenai Dajjal Kepada AlQuran Dan Sunnah

Mengembalikan Kefahaman Mengenai Dajjal Kepada AlQuran Dan Sunnah

Written By Lisanul Hakim (Ahmad Shafiq Ismail) on Thursday, December 23, 2010 | Thursday, December 23, 2010

Dajjal itu perkara ghaib

Di sisi Islam, terdapat beberapa aspek yang dinamakan perkara ghaib. Ramai yang tersalah anggap mengatakan perkara ghaib itu adalah perkara-perkara yang melibatkan alam ghaib, paranormal, hantu dan jin semata. Tidak, sebenarnya. Bagi orang Islam, perkara ghaib itu adalah perkara-perkara yang tidak dapat dinampak oleh pancaindera serta tidak dapat ditentukan kebenarannya, namun wajib diimani, dipercayai dan diakui.

Sesetengah orang, terutamanya saintis dan rasionalis berpendapat disebabkan Islam mempunyai aspek perkara ghaib inilah mereka gagal memahami Islam. Ini kerana bagi para saintis dan rasionalis, mereka gagal/sukar untuk akur kepada perkara-perkara yang bukan saintifik iaitu tidak dapat diukur dari segi kualitatif mahupun kuantitatif.

Sedangkan sesetengah yang lain pula, berpendapat perkara ghaib inilah yang menjadi asas kepada keimanan (faith) dalam Islam. Sepertimana kata pujangga – “To believe after seeing is normal. To believe without seeing is faith”. Ini yang menjadikan para penganut Islam istimewa – kita percaya kepada alam ghaib tanpa melihat dan menyentuhnya, dan dengan kepercayaan inilah kita memusatkan hidup kita terhadap yang ghaib iaitu Allah.

Jadi, apa itu perkara ghaib disisi Islam? Adakah Dajjal juga, perkara ghaib disisi Islam? Dalil kepada kewujudan perkara ghaib ini ada diceritakan di dalam alQuran, surah Al-Baqarah ayat 3


الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ

Maksudnya: (Orang-orang yang bertaqwa adalah) mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib… (Surah Al-Baqarah: 3)

Imam As-Syirbini berkata dalam menjelaskan ayat tersebut dalam tafsir As-Siraj Al-Munir sebagai,


يصدّقون بما غاب عنهم من البعث والجزاء والجنة والنار والصراط والميزان

Maksudnya: (Orang yang beriman dengan yang ghaib) iaitu: mereka yang membenarkan apa yang ghaib (tidak kelihatan dengan pancaindera) daripada mereka daripada perkara-perkara berkaitan hari kebangkitan, hari pembalasan, syurga, neraka, as-sirath (jambatan) dan timbangan amal.

Secara ringkas, terdapat tujuh (tetapi tidak semestinya hanya tujuh) perkara ghaib yang ditafsirkan oleh Imam As-Syirbini:
Tidak kelihatan dengan pancaindera – contohnya Allah, malaikat, iblis, jin, hantu dsb
Perkara-perkara berkaitan hari kebangkitan – Alam barzakh, persoalan amal dalam kubur
Perkara-perkara berkaitan hari pembalasan – Mengenai hari kiamat, tanda-tandanya serta bagaimana kejadiannya 

Perkara-perkara berkaitan syurga – suasananya, ciri-cirinya, ahli-ahlinya dsb
Perkara-perkara berkaitan neraka – suasananya, ciri-cirinya, ahli-ahlinya dsb
Perkara-perkara berkaitan titian sirat
Perkara-perkara berkaitan timbangan amal

Jadi apa pula itu dajjal? Dajjal itu sebagaimana disebut oleh Rasulullah s.a.w adalah salah satu daripada tanda-tanda besar hari kiamat. Justeru, ya, Dajjal juga sebahagian daripada perkara ghaib!

Mungkin ada yang tertanya-tanya, oleh kerana perkara ghaib ini tidak saintifik, maka apa caranya untuk kita mengetahui mengenainya? Jawapannya adalah dengan berpandukan alQuran dan Hadis.

Perkara Ghaib itu adalah sepertimana yang diceritakan di dalam alQuran dan Hadis. Allah mewahyukan kepada kita mengenai hari akhirat, mengenai jin, mengenai syaitan dsb di dalam alQuran dan Hadis.

Saya ingin membawa kita semua cuba berfikir sejenak, mengenai rukun Iman kita. Tahukah anda, hampir semua rukun-rukun Iman kita adalah terdiri daripada perkara ghaib! Ironinya, semua rukun Iman tersebut kita mesti percaya kepadanya!

Rukun iman pertama, percaya kepada Allah. Bukankah Allah itu perkara ghaib? Kedua, percaya kepada malaikat – malaikat juga perkara ghaib! Keempat, percaya kepada Rasul – tetapi di zaman kita ini, sudah tidak ada Rasul yang hidup di dunia! Kelima, percaya kepada hari akhirat, sedangkan hari akhirat juga adalah perkara ghaib!

Keenam – percaya kepada qada’ dan qadar, iaitu sesuatu yang semestinya abstrak dan tidak boleh di-saintifikkan, maka saya secara peribadi mengatakan ia juga sebahagian dari perkara ghaib.

Antara kesemua rukun iman tersebut, satu yang saya tidak sebut – Percaya kepada Kitab, iaitu di zaman sekarang ini, hanya AlQuran yang benar-benar asli. Sebab itu dikatakan, AlQuran itu kunci keimanan!

Kebatilan merujuk mengenai Dajjal daripada sumber bukan Islam

Kembali kepada topik – Justeru itu, kita umat Islam, ada panduan tersendiri mengenai dajjal yang disampaikan oleh Allah dan RasulNya, melalui alQuran dan Hadis. Kedua-dua alQuran dan Hadis adalah rujukan kita mengenai perihal dajjal, tanda-tandanya, kedatangannya, kesannya termasuklah siapa dia.

Tetapi para golongan conspiracy theorist kini telah mencampuradukkan perihal dajjal dengan mengambil keterangan-keterangan dari kitab-kitab bukan Islam seperti kitab yahudi dan kristian (testaments), kitab India (veda) dan pelbagai lagi yang entah dari mana sumbernya.

Bagi saya, saya melihat ini sebagai usaha “menyamaratakan” antara kesemua sumber-sumber ini atas alasan ianya “sejarah”, sedangkan perihal dajjal itu bagi umat Islam adalah perkara ghaib. Inilah apa yang dikatakan sebagai konsep “pluralisma” dalam agama, iaitu satu bentuk penyamarataan agama!

Contohnya, perihal hari kiamat. Perihal hari kiamat bagi umat Islam adalah satu perkara ghaib, yang mana kita hanya merujuk kepada alquran dan sunnah untuk mengerti mengenainya. Kenapa tidak menggunakan kitab-kitab dari agama-agama lain juga untuk menerangkan mengenai hari kiamat? Gunalah kitab mayan untuk menyatakan hari kiamat itu pada 2012. Gunalah kitab india yang mengatakan tiada hari kiamat melainkan kesemua manusia mencapai taraf moksya lalu bersatu menjadi nirvana?

Tidak boleh, kan? Kerana kiamat itu perkara ghaib. Begitu juga dajjal. Dajjal itu perkara ghaib. Ia telahpun diceritakan oleh Rasulullah dan Allah melalui hadis dan alQuran, maka cukuplah itu sahaja sumber kita mengenainya.

Ini permasalahan akidah yang cukup berat, sebenarnya. Kerana jika kita mengambil dan percaya keterangan dajjal dari kitab yahudi & kristian, kitab india dsb itu, ini bermakna kita juga beriman dengan kitab-kitab agama tersebut. Kita menyamaratakan taraf alquran dengan taraf kitab-kitab tersebut, itulah pluralisma dalam agama. Nauzubillah. Semoga kita dijauhkan dari keadaan sedemikian.

Saya menyanjung usaha pihak para conspiracy theorist dalam menyuntik kesedaran, namun hendaklah kesedaran yang disuntik tersebut adalah kesedaran untuk kembali merujuk kepada AlQuran dan Sunnah yang sebenar.

Dajjal Mengikut AlQuran dan Hadis

Pun begitu, saya bersyukur kepada Allah kerana usaha pihak para conspiracy theorist ini yang mula menyedarkan ummah mengenai fitnah dajjal. Namun dalam menghadapinya, kita hendaklah merujuk kepada AlQuran dan Sunnah sahaja. Usahlah mengaitkan dajjal dengan binaan yang pelik-pelik, corak yang pelik-pelik, organisasi-organisasi tertentu dsb.

Saya tidak bercadang membawakan di sini “kod-kod dajjal” kompilasi saya pula, kerana tentunya akan memanjangkan penulisan saya yang sedia panjang ini. Nasihat saya, rujuklah para ulama’ yang menjadikan alquran dan hadis sebagai sumber mereka mengenai perihal dajjal tersebut.

Namun, saya berbesar hati membawakan panduan menghindari dari fitnah Dajjal menurut alQuran dan Hadis. Caranya nampak mudah, tapi sukar untuk kita laksanakan, iaitu – Kembali kepada alQuran dan Hadis. Saya memetik ulasan dari Ustaz Hasrizal dalam sebuah artikelnya, yang ada mengulas mengenai menghindari fitnah dajjal:
_______________________________________________________________

Terkenang kepada pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang pendinding yang menyelamatkan manusia daripada fitnah intelektual Dajjal yang terzahir pada Materialisma.

Materialisma bukan gila kebendaan semata.

Ia adalah fahaman yang memaut makna pada yang tersurat hingga buta pada yang tersirat.

Berikut pesan Baginda:

Kepentingan Surah Al-Kahf

Daripada Abu al-Darda sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda – Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, pasti terlindung daripada dajjal (HR Muslim 809)

Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda – Barangsiapa membaca surah al-kahfi pada hari jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya (Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355)

Surah al-Kahfi!

Kita digesa Sunnah melaziminya.

Menghidupkan malam Jumaat pada membaca dan menekuninya.

Pastinya fungsi surah al-Kahfi pada menyelamatkan seorang manusia daripada fitnah Dajjal itu tidak berlaku hanya pada membaca dan menghafalnya. Sebaliknya, keterangan Sayyid Qutb berkenaan surah ini di dalam tafsir karangannya Fi Dhilal al-Quran, ada pencerahan:

Pandangan Sayyid Qutb:

1. Tashih al-Aqidah (Memperbetulkan Aqidah/Kepercayaan)

2. Tashih Manhaj al-Fikr wa al-Nazar (Memperbetulkan Metodologi Berfikir dan Memerhati/Mencerap)

3. Tashih al-Qiyam bi Mizan al-Aqidah (Memperbetulkan Nilai-nilai berlandaskan Neraca Aqidah yang benar)

Sayyid Qutb berpandangan, Surah al-Kahf itu bertindak sebagai pendinding manusia daripada fitnah Dajjal kerana ia menyentuh mekanisma perbuatan manusia.

0 comments:

Post a Comment

SAHABAT SEPERJUANGAN