Home » , » Hukum Pendermaan Jasad Si Mati Untuk Tujuan Penyelidikan

Hukum Pendermaan Jasad Si Mati Untuk Tujuan Penyelidikan

Written By Lisanul Hakim on Thursday, June 19, 2014 | Thursday, June 19, 2014

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-105 yang bersidang pada 3-5 Februari 2014 telah membincangkan mengenai Hukum Pendermaan Jasad Si Mati Untuk Tujuan Penyelidikan. Muzakarah telah memutuskan:

Setelah meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Malaya dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.

Muzakarah juga menegaskan bahawa hukum asal pendermaan jasad atau mayat manusia adalah haram kerana Islam amat menitikberatkan penghormatan ke atas jasad manusia sama ada sewaktu mereka masih hidup ataupun selepas mati. Terdapat banyak nas-nas syarak berhubung dengannya, antaranya suruhan tajhiz al-mayyit seperti mandi, kafan, solat dan pengkebumian, larangan mencincang jasad mayat dan sebagainya.

Muzakarah berpandangan bahawa dalam konteks Malaysia, pendermaan jasad atau mayat orang Islam dan keperluan penggunaan jasad si mati untuk tujuan penyelidikan masih belum berada pada tahap mendesak. Keperluan terhadap penggunaan mayat untuk tujuan penyelidikan masih boleh dipenuhi dengan kaedah-kaedah alternatif yang ada. Selagi mana kaedah alternatif boleh dikemukakan sebagai jalan keluar, maka ia menjadi pilihan yang mesti diambil tanpa perlu mengharuskan pendermaan jasad atau mayat orang Islam.

Sehubungan itu, selaras dengan penegasan syarak tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pendermaan jasad atau mayat orang Islam untuk tujuan penyelidikan adalah haram dan tidak dibenarkan berdasarkan hujah berikut:

(i) Prinsip kemuliaan mayat dan kewajipan menghormatinya perlu diikuti sebagaimana kaedah:

الأصل في العرض التحريم

Maksudnya: Asal kepada perkara yang melibatkan maruah dan kehormatan adalah diharamkan

Kaedah ini bersandarkan kepada sebuah hadis Nabi SAW:
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
Maksudnya: Darah-darah kamu, harta-harta kamu, dan kehormatan kamu di antara sesama kamu haram seperti mana haramnya hari kamu ini, bulan kamu ini, di negeri kamu ini. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(ii) Kehormatan mayat merupakan suatu tuntutan dan pendermaannya adalah menceroboh prinsip penghormatan tersebut.

(iii) Keperluan penggunaan jasad atau mayat orang Islam untuk tujuan penyelidikan belum berada pada tahap mendesak atau dharurah kerana keperluan tersebut masih boleh dipenuhi dengan kaedah-kaedah alternatif yang ada.

Sumber : Fatwa Malaysia

1 comments:

BLOG INI BERMANFAAT ? LIKE PAGE KAMI !

SAHABAT SEPERJUANGAN