Daripada al-Nu'man bin Bashir r.a. Nabi S.A.W. bersabda: 'Doa adalah ibadah.'
(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Untuk diejanya perkataan doa memerlukan huruf yang sedikit sahaja, iaitu tiga huruf (D.O.A). Seringkas ejaannya maka begitulah perbuatannya. Berdoa adalah sebuah ibadah yang paling termudah dalam agama Islam.
Maka bersyukurlah kita kepada Allah S.W.T sebagai Tuhan yang maha pemurah dan maha mengasihani yang mengurniaan sebuah ibadah yang dipanggil doa.
Di samping itu, doa menunjukkan perbezaan antara perhambaan manusia dan perhambaan dengan Tuhan. Allah S.W.T memberikan ibadah doa kepada kita sebagai medium dan tempat terbaik untuk meluahkan perasaan kita sebagai hamba kepada Allah S.W.T.
Malah, Allah S.W.T sendiri melabelkan bahawa berdoa adalah sebuah ibadah yang mulia disisinya:
Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi S.A.W. bersabda:
Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah S.W.T melainkan doa. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Tetapi dalam kalangan kita pula asyik memandang enteng akan kelebihan berdoa ini. Katanya berdoa ini bak kata pepatah 'seperti menangguk air yang keruh' iaitu seperti seusai solat, terus beredar tanpa berdoa sedangkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi menyatakan:
"Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Rasulullah S.A.W. ditanya oleh seseorang: 'Apakah doa yang lebih di dengar lebih makbul dan mustajab?' Baginda bersabda: "Waktu terakhir pada hujung malam dan sesudah solat fardhu."
Kita menyalahkan Allah S.W.T kerana tidak memakbulkan doa kita sedangkan kita tidak bersungguh-sungguh dalam meminta. Banyak hadis yang mengatakan keadaan, tempat dan waktu yang mustajabnya doa kita di antaranya:
Berdoa ketika berbuka puasa.
Berdoa ketika bermusafir.
Berdoa di antara waktu azan dan iqamah.
Berdoa di hujung solat-solat fardu.
Berdoa pada waktu penghujung malam.
Doa orang dizalimi.
Doa bapa kepada anaknya dan sebagainya.
Tetapi, adakah kita tahu bila masanya dia akan mengkabulkan doa kita?
Adakah esok, lusa atau sepuluh tahun kemudian atau dia mungkin tidak memakbukan doa tersebut.
Adakah kita tahu, mengapa Allah S.W.T mengatur sedemikian rupa ?
Apabila Allah S.W.T segera memakbulkan doamu, maka dia menyayangimu.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah al-Baqarah: 186)
Apabila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu.
Menurut al-Khatabi:
"Jika Allah S.W.T tidak menjawab doa seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya dari kecelakaan, atau menggantikannya dengan pahala."
Menurut Hukama:
"Manusia menyangka doa mereka tidak dimakbulkan, sedangkan sebenarnya ia dimakbulkan melebihi apa yang dipohon, atau menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak dari yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari kiamat."
Apabila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah: 216)
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T, maksudnya:
"Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, maka bersangka tentang-Ku apa sahaja yang kamu ingini." (Hadis Qudsi)
Sumber : Iluvislam
0 comments:
Post a Comment